Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenyataan Hadi 'lebih ramai MP bukan Islam' provokatif - Lim
Diterbitkan:  Dec 5, 2018 6:22 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Kenyataan Abdul Hadi Awang bahawa lebih ramai bilangan anggota parlimen bukan Islam di Dewan Rakyat disifatkan sangat provokatif, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Lim mengulas kenyataan presiden PAS itu yang bimbang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) akan tetap diratifikasi memandangkan komposisi anggota parlimen bukan Islam di Dewan Rakyat lebih ramai.

"Daripada menyebarkan perpaduan nasional di kalangan semua rakyat Malaysia yang berbeza latar belakang etnik dan agama, Hadi terus mencuba dan memecahbelahkan rakyat Malaysia, dengan membuatkan orang Islam menentang orang bukan Islam."

"Pertama, angka yang dipetik oleh Hadi tidak tepat. Beliau berkata terdapat 66 anggota Parlimen bukan Islam dan 58 anggota Parlimen Muslim dalam Harapan. Sebenarnya, ada 62 orang anggota Parlimen Muslim dalam Harapan.

"Anggota Parlimen Bumiputera, termasuk Bumiputera bukan Islam, melebihi jumlah bukan bumiputera. Adakah Hadi menganggap Bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawak tidak sama, hanya kerana mereka bukan Islam?" kata Lim yang juga menteri kewangan.

Ahad lalu Abdul Hadi dilapor berkata pembangkang akan meneruskan himpunan kejayaan bantahan Icerd yang dijadualkan berlangsung pada 8 Disember ini di ibu negara.

“Dalam kerajaan Pakatan Harapan, 66 kerusi Parlimen dipegang orang bukan Islam dan hanya 58 milik orang Islam. Entah di mana silapnya jadi begini.

“Namun, jangan salah gunakan bilangan ini untuk luluskan Icerd dan sebab itu juga kita akan teruskan himpunan kejayaan membantah Icerd. Kita bukan nak buat huru-hara, tapi nak tunjuk protes,” kata Hadi seperti dilaporkan Sinar Harian.

Mengulas lanjut Lim berkata daripada 28 anggota kabinet, termasuk senator, 17 daripada mereka beragama Islam, manakala hanya 11 orang bukan Muslim, dan di kalangan timbalan menteri, 18 beragama Islam dan hanya sembilan bukan Muslim.

Tambah beliau, daripada 222 anggota Parlimen, 140 daripadanya adalah Muslim, dengan hanya 82 dari mereka yang bukan beragama Islam.

"Bagaimanakah hak-hak orang Islam boleh terancam apabila anggota parlimen Muslim terdiri daripada 63 peratus anggota parlimen di Parlimen? Dengan menggunakan logik Hadi, tidakkah orang bukan Islam merasa terancam oleh 63 peratus anggota parlimen Muslim di Parlimen? "Katanya.

Lim berkata desakan PAS untuk menyertai perhimpunan anti-Icerd pada Sabtu ini hanya demi memenuhi survival dan kepentingan politik parti Islam itu meskipun kerajaan sudah berjanji Icerd tidak akan ditandatangani.

Beliau berkata adalah lebih baik PAS mengadakan protes  terhadap semua skandal kewangan yang berlaku di bawah pentadbiran Umno BN daripada berhimpun bagi membantah Icerd yang sudah tidak lagi relevan.

"Ini akan menjadi perkara yang baik untuk semua rakyat Malaysia, baik untuk orang Islam mahupun untuk orang bukan Islam," katanya.

Lihat Komen
ADS