Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof hari ini mengumumkan pelantikan Noripah Kamso sebagai pengerusi baru Bank Rakyat.

Noripah merupakan bekas penasihat CIMB Islamic Bank.

Beliau juga merupakan mantan ketua pegawai eksekutif CIMB-Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd dan ketua pegawai eksekutif CIMB-Principal Asset Management Sdn Bhd.

Noripah kini memegang jawatan anggota Lembaga Pengarah BIMB Investment Management Bhd dan Top Glove Corporation Bhd, selain pengerusi bersama Majlis Industri Kewangan Islam, Dewan Perniagaan Malaysia AS yang berpusat di Washington.

Selain itu beliau juga merupakan bekas presiden Malaysian Futures Brokers Association (MFBA) dan kini menjadi anggota Jawatankuasa Rayuan Pusat Penyelesaian Industri Sekuriti, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Mohd Redzuan turut mengumumkan pelantikan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Wan Suraya Wan Mohd Radzi, sebagai anggota baru Lembaga Pengarah Bank Rakyat.

Pelantikan pengerusi dan anggota Lembaga Pengarah Bank Rakyat itu berkuat kuasa serta merta, selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Pembangunan Usahawan di bawah subperenggan 1(2) Jadual Pertama, Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978 [Akta 202].

Pelantikan anggota baru lain untuk menyertai Lembaga Pengarah Bank Rakyat akan diumumkan sebaik sahaja dimuktamadkan, tertakluk kepada proses penentusahan "layak dan sesuai" oleh Bank Negara Malaysia selaras dengan seksyen 6 Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 [Akta 618].