Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN l Resolusi bersejarah di Pertubuhan Bangsa Bangsa (PBB), yang mengharamkan Israel dari

 

meluaskan serta membina rumah dan menduduki tanah Palestin telah di luluskan.

Tahniah kepada ahli-ahli Jawatankuasa Keselamatan, termasuk Malaysia, yang telah berusaha ke
arah resolusi tersebut.

Rakyat Palestin telah lama menderita dan nasib mereka sukar untuk diubah dalam masa terdekat ini kerana dunia telah terlalu lama mengabaikan mereka.

Syria yang telah dan masih juga sedang mengalami peperangan yang amat dahsyat juga
perlukan perhatian dan tindakan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta dunia luar.

Malangnya dunia keseluruhannya tidak bertindak seperti sepatutnya dan menyepi begitu lama
untuk menyelesaikan persengketaan.

Malahan ada kuasa-kuasa besar dan negara jiran Arab turut ambil bahagian dalam pengeboman dan membekalkan senjata kepada pihak tertentu.

Hanya hampir di penghujung peperangan dan setelah begitu banyak Syria musnah, khususnya
bandar Aleppo, baru dunia mula sibuk menunjukkan lebih banyak keperhatinan dan mengutuk
apa yang telah dibenarkan berlaku.

Hipokrit dunia antarabangsa

Inilah sikap hipokrit dunia antarabangsa hari ini. Setelah musnah binasa dan kehilangan beratus ribu jiwa baru masing-masing mengangkat suara dan berlakon juara membela rakyat Syria.

Ulangan kosong hipokrit gesaan tidak membenarkan trajedi kekejaman di Bosnia berlaku lagi bergema kembali.

Tragedi Palestin, Bosnia, Syria telah berlaku dan kini yang dunia ingin dan pura-pura lupakan adalah tragedi Yaman yang sedang hebat bergolak dan berdarah.

Di Yaman hari ini dunia umum mengetahui angkatan tentera udara Arab Saudi serta sekutunya
mengebom hospital, sekolah dan dewan awam semasa acara pengebumian yang menyebabkan
beratus orang terbunuh.

Tentera Laut Amerika Syarikat pula membedil bandar pelabuhan di pantai Yaman menyebabkan berpuluh terbunuh dalam satu serangan.

Arab Saudi di antara negara ber-Raja terkaya di dunia sementara Amerika pula negara tentera terkuat dunia, dua gergasi yang menyerang negara kerdil serta termiskin Yaman.

Dunia dan PBB, berpura-pura tidak tahu dan kini menyepi semasa ini semua sedang
berlaku. Media Britain menyiarkan berita penderitaan di Yaman.

Malaysia mempunyai tanggungjawab besar dalam isu Yaman kerana kita menduduki kerusi
Majlis Keselamatan PBB dan juga menyertai pasukan latihan perang dengan negara Arab Saudi
serta sekutunya.

Dari sumber diplomatik antarabangsa yang boleh dipercayai, Malaysia dikatakan telah berbelanja beratus juta untuk melobi kuat untuk tempat di Majlis Keselamatan PBB dan diberitakan belanja besar pergi ke beberapa negara-negara tertentu dan bukan hanya berkempen di ibu pejabat PBB di New York.

Begitu banyak wang negara dihabiskan untuk mendapat prestij nama di Majlis Keselamatan PBB.

Berbelanja beratus juta

Oleh itu Malaysia perlu berusaha bersungguh- sungguh dalam isu Yaman untuk tidak mensia-siakan kedudukan tersebut.

Berkali-kali telah saya timbulkan isu Yaman di Parlimen tanpa jawapan memuaskan dari Menteri Luar tentang usaha Malaysia.

Berbelanja beratus juta untuk menduduki Majlis Keselamatan tanpa peranan sepatutnya membela negara yang lemah dan kerdil amat mendukacitakan.

Malaysia telah menghantar berpuluh ribu pelajar kita ke Yaman dan mereka pernah menjadi di antara pelajar asing teramai di Malaysia.

Di Parlimen saya telah menyoal peranan dan justifikasi anehnya Malaysia menyertai latihan
tentera bersama Arab Saudi serta sekutunya dari Negara- negara Arab dan Afrika lain.

Tiada jawapan yang munasabah telah diberi kenapa kita negara luar tunggal masuk campur ehwal
rumah tangga ketenteraan negara Arab dan Afrika selain dari wujudnya hubungan ini.

Kalau Malaysia berada dalam pasukan bersekutu Saudi itu, sudah tentu ada sedikit sebanyak
pengaruh.

Oleh itu saya di sini menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendesak dan menggunakan hubungan istimewa beliau untuk menggesa kerajaan Arab Saudi menghentikan serangan kejam atas negara berdaulat Yaman.

Najib sendiri juga mengistiharkan hubungan istimewa beliau dengan keluarga di raja Arab Saudi yang telah menderma berbillion ringgit kepada dirinya.

Hubungan istimewa

Gunakanlah hubungan istimewa itu untuk menyelamatkan nyawa rakyat tidak berdosa Yaman.

Lakukan sesuatu sebelum terlambat dan gunakanlah pengaruh untuk kebaikan menyelamatkan nyawa orang awam termasuk anak kecil, warga tua dan wanita yang lemah.

Jangan sia -siakan pengaruh dalam Majlis Keselamatan PBB dan hubungan istimewa dengan keluarga diraja Arab Saudi.

Sementara Najib berurusan dengan kerajaan Arab Saudi, dicadangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula boleh menasihati pemimpin Iran yang dikatakan menyokong pihak yang ditentang oleh kerajaan Saudi di Yaman.

Kalau Hadi sanggup memainkan peranan pendamai dengan Iran di penhujung peperangan Syria, sudah tentu usaha di peringkat pertengahan peperangan di Yaman amat dialu-alukan oleh semua.

Dunia antarabangsa dan PBB akan terus dengan sikap hipokrit mereka.

Malaysia sekurang-kurangnya mesti melakukan sesuatu di dalam kemampuan pengaruh kita yang ada.

Jangan ulangi seperti Palestin, Bosnia dan Syria, dimana setelah beratus ribu nyawa hilang dan bandar serta kampung musnah kita baru akan mengulangi kenyataan - “Dunia tidak akan membenarkan ini berulang lagi!”

Sebenarnya, sikap hipokrit inilah yang tidak patut diulangi terdahulu kalau kita mahu mengelakkan peristiwa sebegini berulang!


Raja Bahrin Shah adalah Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH dan juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu

Lihat Komen
ADS