Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Himpunan bantah Icerd hanya untuk kepentingan politik'

Perhimpunan kesyukuran bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) pada Sabtu ini hanya untuk kepentingan politik pihak tertentu, kata Ahmad Awang.

Penasihat Umum Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, tiada keperluan bagi mengadakan perhimpunan itu memandangkan kerajaan sudah menolak untuk meratifikasi Icerd.

"Icerd tidak berbangkit lagi, sebab perdana menteri sudah kata tidak akan melaksanakannya. Ia juga tidak perlu dibawa ke parlimen.

"Apa yang saya faham, walaupun saya bukan anggota parlimen... parlimen ini untuk kita adakan akta, kalau benda tak nak buat kenapa hendak bawa ke parlimen?

"Jadi kita melihat ia (perhimpunan) semata-mata kerana kepentingan politik," katanya ketika ditemui di Gombak, hari ini.

Ahmad sebelum itu menghadiri forum solidariti al-Quds dan majis menandatangani dan penyataan "sumpah al-Quds" di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Majlis disempurnakan Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr Sharif Abu Shammaiah.

Semalam, penganjur program himpunan bantah Icerd mengesahkan bekas perdana menteri, Najib Razak akan hadir ke program itu Sabtu ini.

Perkara itu disahkan pengarah program himpunan itu, Kamaruzaman Mohamad yang turut mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim ke himpunan itu bagi "mendengar suara rakyat".

Kamaruzaman juga turut mengesahkan bahawa 12,000 individu membabitkan anggota Jabatan Unit Amal PAS akan dikerahkan bagi mengawal keselamatan pada perhimpunan itu nanti.

Sementara itu, Mohd Anuar yang juga timbalan menteri kerjaraya menyatakan sokongan penuh terhadap sebarang usaha untuk membebaskan Baitulmaqdis daripada penaklukkan penjajah.

Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing termasuk memboikot produk yang dikeluarkan rejim Zionis.

Lihat Komen
ADS