Tuduhan lantik anggota PKR ke dalam lembaga pengurusan SJKC tidak berasas
Anggota Parlimen Pasir Gudang hari ini menolak dakwaan kononnya ada cubaan daripada pihaknya untuk memasukkan anggota parti ke dalam lembaga pengurusan sekolah jenis kebangsaan Cina di kawasan parlimennya, baru-baru ini.
Hassan Karim, yang juga Pengerusi PKR Johor itu berkata tuduhan yang dilemparkan ke atasnya dan parti adalah tidak berasas dan merupakan satu salah faham.
“Ini adalah salah faham daripada pihak MCA. Pada awal bulan lepas (November), saya dan pegawai khas saya telah dijemput oleh anggota lembaga pengurusan dan guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Masai untuk merapatkan hubungan sekaligus untuk meninjau keadaan sekolah tersebut.
"Kami dijemput untuk sama-sama menghadiri (kebetulan), ada perbincangan dan taklimat oleh pihak guru besar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) (pada waktu yang sama) untuk memberitahu tentang masalah yang dihadapi, terutamanya dari segi fizikal seperti masalah tandas dan juga bangunan yang perlu dicat semula di sekolah tersebut,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.
Beliau juga turut menjelaskan bahawa tujuan lawatan ke sekolah tersebut hanyalah sebagai seorang anggota parlimen disebabkan permohonan bantuan yang dibuat oleh sekolah berkenaan.
“Saya melalui pejabat anggota parlimen melalui peruntukan parlimen telah membantu terus ke akaun sekolah tersebut untuk menaikkan bumbung kantin sekolah yang terlalu rendah dan sebanyak RM8,000 peruntukan telah diluluskan,” katanya.
Hassan turut menjelaskan pada hari yang sama, sebelah petang, lawatan turut diadakan ke sebuah lagi sekolah jenis kebangsaan Cina bagi membincangkan masalah yang dialami sekolah berkenaan.
“Mereka menyatakan masalah kewangan kepada saya, terutamanya melibatkan pembayaran bil elektrik sebanyak RM8,000 lebih setiap bulan dan juga masalah lain,” tambahnya.
Hassan juga menegaskan sepanjang lawatan ke dua sekolah berkenaan, tiada perbincangan langsung mengenai pelantikan anggota parti sebagai anggota lembaga pengurusan sekolah tersebut.
“Pendirian saya, saya tidak mahu ada campur tangan politik yang boleh mengganggu pentadbiran sekolah dan niat saya hanya untuk membantu mereka sebagai anggota parlimen di kawasan ini,” tambahnya lagi.
“Sekali lagi saya hendak menegaskan, tidak ada arahan dan surat rasmi daripada saya untuk melantik menjadi anggota lembaga pengurusan di dua SJKC itu. Tujuan saya hanya hendak menolong kebajikan sekolah dan juga pelajar,” katanya.
Hassan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan MCA Bahagian Pasir Gudang baru-baru ini yang kononnya anggota parlimen Pasir Gudang itu meminta lembaga pengurusan SJKC supaya melantik dua orang anggota parti untuk masuk ke dalam lembaga pengurusan di tiga sekolah sekitar Pasir Gudang.
-- Bernama

