Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakyat Kelantan disaran solat hajat, berdoa hadapi tengkujuh
Diterbitkan:  Dec 6, 2018 3:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob, menyeru orang ramai melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah SWT supaya negeri digelar Tanah Serendah Sekebun Bunga tidak dilanda banjir besar pada tahun ini.

Kata Ahmad memang menjadi kebiasaan pada hujung tahun berlaku musim tengkujuh dan Kelantan tidak terkecuali daripada menerima kesannya.

"Melihat keadaan cuaca dan hujan yang sentiasa turun dalam seminggu ini, saya berpesan kepada seluruh rakyat Kelantan agar bersedia dan berwaspada bagi menghadapi kemungkinan banjir terutamanya mereka yang di kawasan berisiko tinggi.

"Saya berharap, seluruh rakyat tidak mengambil mudah terhadap setiap arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa terutamanya melibatkan arahan untuk berpindah," katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.

Sebagai rekod, kali terakhir Kelantan mengalami banjir besar ialah pada 2014 dan fenomena itu turut dikenali sebagai bah kuning.

Sejak seminggu lalu, Kelantan mengalami hujan lebat dan sekiranya keadaan itu berterusan negeri itu kemungkinan besar akan menghadapi banjir.

Sementara itu, Ahmad berharap rakyat Kelantan dapat menghadapi ujian pada musim tengkujuh ini dengan penuh sabar.

"Buat masa ini, semua pusat pemindahan berada dalam keadaan yang bersih dan lengkap bagi menghadapi kemungkinan yang akan berlaku.

"Begitu juga dengan petugas sukarelawan dan anggota penyelamat sudah berada dalam keadaan bersedia.

"Apabila arahan berpindah dikeluarkan, semua pihak hendaklah mengambil langkah segera untuk berpindah dan perlu dilaksanakan sebelum maghrib bagi mengelakkan sebarang kesulitan," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS