Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiru sajalah BN, sindir Najib pasal isu PTPTN
Diterbitkan:  Dec 6, 2018 10:11 PM
Dikemaskini: 2:11 PM

Bekas perdana menteri Najib Razak sekali lagi menyindir Pakatan Harapan (PH) kerana didakwa tidak mampu menunaikan janji mereka berkaitan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ia susulan pelaksanaan Potongan Gaji Berjadual (PGB) sebagai kaedah bayaran balik bagi pinjaman PTPTN seperti diumumkan pengerusi tabung itu, Wan Saiful Wan Jan.

“Asasnya, apa yang (Menteri Pendidikan) Maszlee Malik dan Wan Saiful perlu buat ialah kuatkuasakan perjanjian PTPTN bawah Kerajaan BN dahulu yang mengambil kira kemampuan

.“Pada masa sama, galakkan sesiapa yang mampu dan ingin bayar lebih atau langsaikan pinjaman lebih awal dengan pelbagai insentif. Ini tidak.

“Lihatlah apa yang kerajaan PH hari ini buat. Yang konsisten bayar mengikut perjanjian pula dihukum dan dihukum teruk,” kata Najib melalui hantaran Facebooknya, hari ini.

Kata Najib, jika PH tidak mampu menunaikan janji Pilihan Raya (PRU) lalu atau tidak mampu memberikan pendidikan percuma, mereka boleh meniru apa yang dibuat oleh pentadbiran BN dahulu.

“Kalau dah tak boleh tunai janji manifesto atau beri pendidikan percuma, sekurang-kurangnya copy and paste (salin tampal) apa BN buat dahulu.

“Beri perhatian, salinlah jawapan dan ambil nota jika tak faham. Baru kita boleh bagi skor 9.95 kepada "menteri masih belajar”,” sindirnya.

Sindiran terhadap Maszlee itu dibuat berikutan kenyataan menteri pendidikan itu dalam satu wawancara dengan Malaysiakini yang mengatakan dirinya 'masih belajar' untuk menjadi seorang menteri.

"Saya tidak akan menilai diri saya sebagai seorang menteri dalam tempoh enam bulan ini, tetapi saya menilai diri saya sebagai seorang yang sedang belajar.

"Saya akan memberikan diri saya 9.95 daripada 10," kata Maszlee.

Semalam Wan Saiful mengumumkan PTPTN bekerjasama dengan enam agensi bagi mendapatkan maklumat pendapatan dan butiran majikan peminjam untuk PBG bermula Januari depan.

Agensi terbabit ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Persaraan, Jabatan Akauntan Negara, Urusan Gaji Angkatan Tentera dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

PGB adalah untuk peminjam yang gajinya mencecah RM2,000 sebulan dan berdasarkan maklumat yang diperoleh, PTPTN akan mengeluarkan arahan potongan gaji mengikut peratusan tertentu kepada majikan yang bertanggungjawab membuat potongan itu.

BN bagi diskaun

Najib berkata, sebelum ini BN mengambil langkah dengan menggalakkan peminjam membayar balik hutang berkenaan namun dalam masa yang sama tetap mengambil kira kos sara hidup peminjam.

“Kita bagi diskaun sehingga 20 peratus untuk bayaran balik sama ada sekali gus, separa atau potongan gaji. Yang cemerlang, kita bagi pengecualian bayaran balik sepenuhnya. Kita galakkan mahasiswa, dan pada masa sama kita ringankan beban bayaran balik.

“Setiap bulan peminjam PTPTN bayar balik kira-kira lebih sedikit dari RM100 dan jumlahnya juga boleh dibawa berbincang dengan PTPTN.

“Hari ini, berlipat kali ganda peminjam PTPTN kena bayar - ada yang wajib bayar melebihi RM1,200 setiap bulan, ini bukan satu angka yang kecil,” katanya.

'Terima amukan anak muda'

Sementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS)  memberi amaran kepada kerajaan untuk menarik semula polisi tersebut atau berdepan 'amukan' anak muda.

“Amaran daripada kami mahasiswa Malaysia agar pihak PTPTN segera menarik polisi skim PBG ini atau kerajaan bakal berhadapan dengan amukan anak muda Malaysia dari seluruh negeri dan universiti,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya skim PBG adalah zalim dan menekan graduan yang khususnya datang daripada keluarga miskin.

"Apa yang dilakukan oleh Wan Saiful dan Maszlee Malik ini adalah tidak berperikemanusiaan dan lebih teruk daripada apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BN dahulu,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan sepatutnya memfokuskan pembangunan bagi memberdaya ekonomi anak muda dan tidak merompak gaji anak muda dengan kuasa yang dimiliki.

“Pengerusi PTPTN yang bergaji besar dan Maszlee Malik, Menteri yang sedang menikmati gaji yang besar pada hari ini sepatutnya berkerja untuk mencipta satu mekanisme yang mapan untuk membantu anak muda mempunyai ekonomi yang stabil disamping memastikan kestabilan kewangan PTPTN terjamin,” katanya.

Lihat Komen
ADS