Kaedah baru bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus menerima kritikan pelbagai pihak.

Antara yang tidak bersetuju adalah bekas naib presiden PKR, Rafizi Ramli yang berkata, beliau juga tidak setuju dengan kaedah Potongan Gaji Berjadual (PGB) yang diumumkan kerajaan itu.

"Saya faham maklum balas ramai peminjam PTPTN mengenai peraturan potongan gaji. Saya pun tak setuju," katanya melalui Twitter.

 Rafizi juga berjanji akan membawa rasa tidak puas hati itu kepada kerajaan.

“Insya-Allah perkara ini dibawa ke peringkat dalaman dan ada penyelesaiannya nanti.

"Saya serahkan kepada kawan-kawan dalam kerajaan untuk kaji balik. Kalau tak ada perubahan saya bersuara," katanya.

Turut membidas PGB itu adalah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menyifatkannya sebagai tidak adil.

“Dua agenda penting bagi mesyuarat jemaah menteri pagi ini - tangguhkan mekanisme pembayaran baru PTPTN & pastikan ia berlaku adil kepada peminjam yang sedang membayar balik setiap bulan,” katanya di laman Twitter.

Semalam, bekas perdana menteri, Najib Razak turut membidas keputusan PTPTN itu dan menyifatkan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyusahkan orang sahaja.

“Nama dia Wan Saiful. Ingatlah nama dan wajahnya. Sekali dengan Maszlee. Apa nama pejuang mahasiswa itu? Kalau jumpa tanya khabar. Kesemua mereka ini sejak masuk ke Kementerian Pendidikan, kerja mereka menyusahkan orang sahaja,” katanya.

 

Kaedah baru bayaran balik pinjaman PTPTN secara progresif itu dijadualkan berkuat kuasa Januari 2019.

Semalam, Presiden PKR, Anwar Ibrahim memaklumkan pihaknya akan mengemukakan nota segera kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad agar kementerian pendidikan mengkaji semula kaedah berkenaan.