Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anggota Rela nafi tarik balik laporan terhadap 'Datuk Seri' kerana dirasuah

Seorang anggota Rela yang menarik balik laporan polisnya selepas diserang seorang 'Datuk Seri', Liow Soon Hee, hari ini menafikan bertindak sedemikian kerana dirasuah.

Melvin Cheong Mun Khai juga menafikan beliau menerima permohonan maaf Liow.

"Spekulasi bahawa sebab utama saya tarik balik laporan kerana menerima rasuah tidak benar. Saya tarik balik laporan secara sukarela.

"Sebab utama saya berbuat demikian adalah kerana komitmen kerja yang bermula lewat malam hingga pagi, dan ini membebankan saya untuk ke mahkamah bagi memberikan bukti berhubung kes ini," katanya dalam kenyataan.

Cheong, pelayan bar berusia 22, menafikan beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan susulan laporan oleh Pengarah Bahagian Operasi RELA Muhamad Razib Buhaini September lalu.

Razib sebelum ini menggesa SPRM menyiasat Cheong kerana menarik balik laporan polisnya terhadap Liow.

Anggota Rela itu ditemani peguamnya, Yusof Mohamed Salleh, yang mengeluarkan kenyataan di atas bagi pihak Cheong.

Cheong juga berkata beliau tidak mahu menjadi 'boneka' dalam kes ini.

"Saya tegaskan sekali lagi semasa prosiding, saya dan dua lagi anggota Rela setuju kompaun dikenakan terhadap Liow bagi menyelesaian isu berkaitan dakwaan ini, tetapi pengurusan tertinggi Rela tidak setuju.

"Ini adalah kesalahan individu terhadap individu lain. Saya rasa pihak lain tidak perlu masuk campur dan biarkan kami membuat pilihan sendiri," katanya.

Liow, 30, didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang Jaya kerana menyerang tiga anggota Rela, termasuk Cheong, pada 27 Oktober lalu.

Liow dilepas tanpa dibebaskan selepas Cheong menarik balik laporannya.

Selain pendakwaan itu, Liow juga mengaku tidak bersalah terhadap tiga lagi dakwaan menyerang anggota Rela yang sedang bertugas di sebuah kuil di Kampung Baru Ampang.

Dia juga disiasat dalam kesalahan berkaitan dadah.

Menurut laporan The Sun pada 5 Disember 2017, Liow berkata sanggup memohon maaf terhadap anggota yang terlibat atas kelakuan agresifnya.

Lihat Komen
ADS