Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Langkah kerajaan tak ratifikasi Icerd tepat, kata Lim

Pemimpin DAP Lim Kit Siang menyifatkan kerajaan membuat langkah tepat dengan tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Beliau berkata, Icerd hanya boleh diratifikasi apabila majoriti rakyat menerima konvensyen itu.

"Malaysia tidak boleh meratifikasi Icerd sehinggalah majoriti rakyatnya menyokong ratifikasi itu dan memahami yang ia tidak mengancam mana-mana kaum, agama atau Perlembagaan Persekutuan.

"Malaysia adalah negara yang mempunyai masyarakat majmuk berbilang kaum.Justeru, untuk menjadi sebuah negara yang harmoni kita perlu membebaskan negara ini dengan prinsip masyarakat majmuk itu," katanya dalam ucaptama program 'Malaysia Baharu, Politik Lama' di Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau yang juga anggota parlimen Iskandar Puteri bagaimanapun berkata kerajaan tetap perlu meratifikasinya pada masa depan bagi melonjakkan kedudukan negara.

"Jadi kita kena ratifikasikan ICERD, tetapi biarlah (ketika) majoriti rakyat menyokong" katanya lagi.

Selain Lim, turut menjadi panel dalam program itu ialah pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram dan Edmund Terence Gomes, serta bekas ketua pegawai operasi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Idea), Tricia Yeoh.

Himpunan itu yang pada asalnya bagi membantah hasrat kerajaan meratifikasi konvensyen itu ditukar kepada acara kesyukuran susulan keputusan kerajaan 23 November lalu.

PAS dan Umno juga telah menyatakan komitmen untuk mengerah seramai mungkin anggota mereka untuk menyertainya, dengan sasaran kehadiran 500,000.

Sementara itu, Lim mendakwa Umno dan PAS memainkan sentimen dengan menuduh DAP sebagai anti-Melayu dan Islam tetapi gagal membuktikannya sehingga kini.

Katanya lagi, tuduhan itu hanya membuktikan kedua-dua parti itu sebagai takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga merasakan DAP sebagai parti paling berkuasa dalam PH.

Terdahulu, Lim melancarkan buku bertajuk '509: The People Have Spoken', himpunan artikel mengenai pilihan raya umum (PRU) 9 Mei lalu.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS