Malaysiakini
BERITA

Singapura nasihatkan rakyatnya supaya tangguh ke KL

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Dis 2018, 6:49 pagi

Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura menasihatkan rakyat republik itu supaya menangguhkan semua perjalanan yang tidak perlu ke Kuala Lumpur memandangkan perhimpunan yang akan diadakan di bandar raya esok.

Dalam satu nasihat perjalanan yang dikeluarkan hari ini, merujuk kepada laporan media berhubung perhimpunan besar-besaran yang akan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada 8 Disember, kementerian itu menasihatkan rakyatnya untuk menangguhkan perjalan yang tidak mendesak ke Malaysia.

"Adalah dijangkakan acara itu akan dihadiri puluhan ribu orang.

“Dengan jumlah hadirin yang begitu ramai, terdapat kemungkinan akan berlaku pertempuran terpencil. Mungkin juga berlaku gangguan lalu lintas dan gangguan lain yang akan memberi kesan kepada pelancong.

“(Justeru), rakyat Singapura dinasihatkansupaya menangguhkan semua perjalanan yang tidak mendesak ke Kuala Lumpur buat masa itu," petik nasihat itu.

Selain perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) satu lagi perhimpunan anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) juga dijadualkan bagi menyambut Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa, esok.

Walau bagaimanapun, polis telah menyarankan supaya majlis yang dijadual menampilkan kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Padang Timur, Petaling Jaya itu ditangguhkan ke kemudian hari.

Nasihat perjalanan juga menggesa warga Singapura yang kini di Malaysia untuk terus berhati-hati dan mengelakkan diri daripada menghadiri sebarang perhimpunan, serta mengikuti media tempatan untuk mendapatkan perkembangan terkini serta arahan daripada pihak berkuasa.

Selain itu, ia menggalakkan warga Singapura untuk mendaftar maklumat perjalanan perjalanan mereka melalui sistem eRegister kementerian, serta membeli insurans perjalanan dan kesihatan yang komprehensif.

"Rakyat Singapura juga diingatkan untuk terus berhubungan dengan keluarga dan rakan-rakan untuk memaklumkan kepada mereka bahawa anda selamat," katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.