Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu Pulau Kukup: K'jaan Johor nyata pendirian ketika penggulungan DUN

Kerajaan Negeri akan menyatakan pendiriannya berhubung kedudukan Pulau Kukup, Pontian sebagai Taman Negara pada sesi penggulungan Dewan Undangan Negeri (DUN), Ahad ini.

Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata kesempatan sesi itu turut akan digunakan oleh beliau untuk menjawab segala persoalan yang dibangkitkan wakil rakyat dalam perbahasan mereka.

“Sekarang ini dua exco belum lagi jawab (gulung). Jadi selepas dua orang ini berucap, baru saya akan berucap.

“Oleh itu, apa-apa jawapan, apa-apa persoalan yang ditimbulkan oleh wakil rakyat dalam perbahasan saya akan jawab ketika itu.

“Yang lain (isu lain) tidak ada, masih terkawal, tiada masalah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Kembali ke Sekolah dan Penyerahan Berkelompok Projek Baiti Jannati anjuran Tenaga Nasional Berhad bersama pejabat DUN Kempas di Johor Bahru, hari ini.

Osman berkata demikian sebagai mengulas pendirian Kerajaan Negeri berhubung status Pulau Kukup, yang menjadi bualan ramai pihak selepas warta mengenainya tersebar dalam media sosial, tiga hari lepas.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Johor Aminolhuda Hassan mendakwa pihaknya tidak mengetahui mengenai pembatalan perizaban itu walaupun ia diwartakan pada 24 September.

Menurut Aminolhuda, kelulusan pembatalan dibuat pada mesyuarat Exco oleh kerajaan terdahulu pada Mac.

Semalam, DUN Johor meluluskan usul tergempar untuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri Johor untuk mengambil maklum dan mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup.

Pulau Kukup yang terletak dalam daerah Pontian, mempunyai keluasan 647 hektar dan dikelilingi 800 hektar tanah paya. Ia merupakan pulau hutan bakau kedua terbesar di dunia dan salah satu tapak Ramsar di Malaysia.

Selain itu, ia menjadi tarikan biodiversiti kerana menempatkan pembiakan 12 spesies fauna dan 76 spesies burung.

-Bernama

Lihat Komen
ADS