Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Himpunan yang dijadual berlangsung di ibu kota esok secara umum bukan sekadar menyaksikan kedatangan orang luar Kuala Lumpur, malah secara umum ia turut membawa rezeki kepada peniaga.

Laba yang sesekali datang itu turut dikongsi kumpulan peniaga baju yang biasanya cekap melihat potensi kepada aktiviti mereka.

Antaranya ialah Shamsul Anuar Aziz dari Alor Setar yang menjual pakaian tersebut secara suka-suka.

Walaupun begitu kegiatan berkenaan yang dilakukannya secara sambilan membawa keuntungan sehingga ribuan ringgit untuk tempoh seminggu saja.

“Baju saya dijual pada harga RM15 sehelai.

"Dalam tenpoh seminggu kami habis jual semua 3,000 helai pakaian yang kami cetak," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Shamsul Anuar, 37, dia memang teruja dengan sambutan di luar jangkaan itu.

Ada orang bertanya

Katanya kebanyakan pesanan untuk baju itu datang dari Pahang.

"Sehingga hari ini kami masih mendapat permintaan melalui WhatsApp dan Messenger, cuma kami dah tak cetak lagi baju, sebab dah tak sempat,” katanya.

Perhimpunan bagi membantah Icerd itu dijadual berlangsung esok dan menurut pemimpin PAS akan mengumpulkan sehingga 500,000 orang.

Program yang dikendalikan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) itu mendapat sokongan padu dua parti dominan orang Melayu iaitu PAS dan Umno.

Pemimpin kanan Umno dan PAS bersama salah satu rekaan baju T bantah Icerd

Sebagai tanda sokongan Kelantan memberikan cuti khas pada 9 Dis ini bagi memudahkan penduduk negeri terbabit menyertai himpunan tersebut.

Mohd Hashim Ismail berasal dari Pulau Pinang pula berkata dia telah mencetak lebih 500 helai baju T sempena himpunan esok.

Bagaimanapun, katanya, selepas dua hari dicetak hanya kira-kira 80 helai pakaian untuk himpunan tersebut terjual.

"Saya cetak lebih 500 helai bajut T bantah Icerd dan yang dah terjual ada dalam 80 helai.

"Kami pun baru siap cetak baju ini hari Rabu, kelmarin sebab ada yang bertanya," katanya berjual di Pandan Indah, Selangor.

Menurut Mohd Hashim, 59, dia mencetak baju khas itu sebab ada orang memberi cadangan kepadanya dan kebetulan perlu membayar hutang daripada perniagaan yang kurang memberangsangkan.

"Kenalah buat juga," katanya yang akan turun bersama ke Kuala Lumpur bagi menjual lagi pakaian berkenaan esok.

Promosi untuk baju dijual Mohd Hashim turut dikongsikan Naib Presiden PAS Iskandar Abdul Samad hari ini.

Sementara itu, pemilik akaun Facebook Hamdan Ahmad yang menjual pakaian Tolak Icerd secara dalam talian yang dihubungi Malaysiakini enggan mengulas lanjut hasil jualannya.

"Saya tidak berminat untuk berkongsi maklumat dengan Malaysiakini," katanya.

Lihat Komen
ADS