Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menasihatkan Suhakam supaya menangguhkan majlis sambutan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa esok selepas pihak polis menyebut kemungkinan risiko keselamatan, menurut pengerusi suruhanjaya itu, Razali Ismail.

"Perdana menteri memutuskan untuk tidak hadir dan menasihatkan kami supaya menangguhkannya. Surat daripada PMO (Pejabat Perdana Menteri) dalam perjalanan," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur petang tadi.

Mengulas lanjut soalan mengenai hal ini, Razali berkata PMO mahu menunda majlis berkenaan berdasarkan kebimbangan yang dibangkitkan pihak polis,

Mahathir sepatutnya menjadi tetamu utama pada majlis anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia di Padang Timur, Petaling Jaya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan polis menasihatkan Suhakam untuk menangguhkan majlis tersebut kerana risiko keselamatan.

Suhakam telah menangguhkan majlis itu pada Ahad ini dan surat jemputan telah dihantar kepada Mahathir, Ketua Setiausaha Negara Ismail Bakar dan ahli-ahli parlimen.

Speaker Dewan Rakyat ganti PM

Bagaimanapun, Razali berkata Mahathir mungkin tidak dapat datang kerana makluman dibuat dalam jangka masa pendek.

Suhakam telah mendapatkan Yang DiPertua Dewan Rakyat Mohamad Arif Md Yusof bagi menyampaikan ucap tama pada majlis itu yang akan berlangsung di Padang Timur, dari 8 pagi hingga 3 petang.

Pengerusi Suhakam yang kecewa dengan penangguhan tersebut berkata majlis anjuran suruhanjaya itu bukan ancaman keselamatan.

"Kami bukan risiko keselamatan, jika terdapat risiko keselamatan terserah kepada polis untuk menanganinya, Malaysia Baru bermaksud terdapat cara lain bagi mengendalikan sesuatu perkara.

"Jika kamu bercakap mengenai amalan demokrasi, ia perlu datang dengan keupayaan untuk memastikan demokrasi (dapat diamalkan) dan tidak berkompromi seperti ini.

"Ini bukan soal tidak patuh kepada pihak polis atau kerajaan. Tetapi kami merasakan bahawa kerajaan ditadbir berdasarkan pertimbangan keselamatan," jelasnya lagi.

Kesyukuran kerajaan tolak Icerd

Pada kenyataan akhbar terdahulu, Razali berkata keputusan kerajaan seolah-olah seperti dipengaruhi taktik tekanan pelampau.

"Suhakam kecewa kerana kerajaan yang komited kepada hak asasi manusia seakan-akan terpengaruh dengan taktik tekanan dan ekstremisme sehingga terpaksa menangguhkan acara sambutan yang dirancang sejak beberapa bulan yang lepas.

“Kami memohon maaf kepada orang ramai, tetamu kami, peserta dan sukarelawan yang terlibat dalam acara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada awalnya, majlis anjuran Suhakam berlangsung serentak dengan perhimpunan membantah Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Dijangkakan ribuan peserta akan berkumpul di Kuala Lumpur sebagai tanda kesyukuran terhadap keputusan kerajaan untuk tidak memeterai Icerd.

Pemimpin Umno dan PAS mendakwa majlis Suhakam itu sesuatu yang "memprovokasi" kerana jatuh pada tarikh sama perhimpunan anti-Icerd itu.

Namun, majlis anjuran Suhakam itu telah dirancang lama sebelum perhimpunan 'syukur Icerd' ini. Malaysiakini dimaklumkan kehadiran Mahathir di majlis itu pada 26 Oktober lalu.

[Baca berita penuh]