Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS jamin peserta 'syukur Icerd' patuh arahan penganjur
Diterbitkan:  Dec 7, 2018 10:53 PM
Dikemaskini: 2:53 PM

PAS menyambut baik kerjasama yang diberikan kerajaan khususnya polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap perhimpunan yang akan diadakan, esok.

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata pihaknya juga akan mematuhi segala arahan dari pihak penganjur dan keselamatan bagi menjayakan perhimpunan itu.

“Saya mengikuti pesanan ringkas yang disampaikan oleh perdana menteri kepada peserta Himpunan Aman Membantah Ratifikasi ICERD pada hari Sabtu, 8 Disember 2018, di Kuala Lumpur.

“PAS menyambut baik kerjasama yang diberikan oleh pihak kerajaan, khususnya daripada pihak PDRM dan DBKL.

“PAS memberikan komitmen untuk mematuhi setiap arahan penganjur dan pihak keselamatan dari semasa ke semasa, bagi memastikan kejayaan perhimpunan ini,” kata Abdul Hadi dalam kenyataannya, hari ini.

Menjelang perhimpunan itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menasihati peserta perhimpunan itu untuk menjaga tingkah laku masing-masing.

Najib, Zahid bakal hadir

Beliau berkata walaupun kerajaan membenarkan kumpulan terbabit meneruskan majlis mereka namun keselamatan harta awam dan kebersihan ibu negara mesti dipelihara.

Puluhan ribu umat Islam dijangka akan berkumpul di Kuala Lumpur dengan pihak penganjur menyasarkan kehadiran 500,000 orang, khususnya membabitkan penyokong Umno dan PAS.

Bekas perdana menteri Najib Razak, Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi antara pimpinan utama yang dijadual turun selain pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 23 November lalu membuat keputusan untuk tidak meratifikasi Icerd selepas mendapat bantahan hebat PAS, Umno dan NGO Melayu Islam.

Justeru, Abdul Hadi mengingatkan rakyat untuk turut serta dalam menzahirkan pendirian terhadap ICERD.

“(Ia) demi memelihara kerukunan dan keharmonian hidup yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Lihat Komen
ADS