Malaysiakini
BERITA

Pertikaian perairan: M'sia-S'pura elak hantar kapal - Saifuddin

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Dis 2018, 3:14 petang

Malaysia mengesyorkan kedua-dua negara berhenti menghantar kapal pertahanan ke kawasan yang menjadi pertikaian bermula tengah malam ini, sehinggalah suatu perbincangan diadakan mengenai isu-isu sempadan kelautan.

Dalam suatu kenyataan malam ini, Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata telah menyampaikan perkara ini kepada republik itu melalui Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur.

"Tindakan berhenti berbuat demikian perlu dilakukan tanpa menjejaskan sama ada kedudukan Malaysia atau Singapura mengenai tuntutan sempadan maritim di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengemukakan draf agenda untuk mesyuarat itu ketika bertemu dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong di Singapura bulan lepas.

"Menjadi harapan kerajaan Malaysia supaya mesyuarat itu dapat diadakan pada pertengahan bulan ini," kata Saifuddin.

Beliau berkata Malaysia juga telah menyuarakan bantahan terhadap keputusan Singapura untuk memperluaskan sempadan pelabuhan di luar kawasan Tuas.

Amaran kapal pengawal pantai S'pura

Saifuddin berkata, Pekeliling Marin Pelabuhan Singapura No 9, bertarikh 6 Disember, lalu merupakan pembesaran sempadan pelabuhan yang dibuat secara sepihak serta menceroboh sempadan pelabuhan Johor Bahru yang ditunjukkan di bawah Gazette PU (B) 587 2018, bertarikh 25 Oktober.

"Ia pelanggaran yang jelas terhadap kedaulatan Malaysia dan undang-undang antarabangsa.

"Kerajaan Malaysia menggesa kerajaan Singapura untuk menarik kembali Pekeliling Pelabuhan Marin No 9," katanya.

Kenyataan Saifuddin hanya beberapa jam selepas Menteri Pertahanan Singapura Ng Eng Hen "memberi amaran keras" terhadap kapal-kapal Malaysia yang "menceroboh" perairan Singapura.

Ng juga mengepilkan hantaran klip video yang tidak bertarikh yang memaparkan kapal polis pengawal pantai (PCG) Singapura yang memberi amaran kepada sebuah kapal Jabatan Laut Malaysia.

 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.