Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin cadang rundingan bagi pertikaian sempadan perairan Malaysia-Singapura
Diterbitkan:  Dec 8, 2018 2:58 PM
Dikemaskini: 6:58 AM


Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau berharap isu tuntutan ruang udara dan sempadan perairan Malaysia dan Singapura diselesaikan menerusi meja rundingan.

Semasa ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor hari ini, Muhyiddin berkata langkah berkenaan penting bagi mengelak sebarang persaingan yang tidak perlu antara kedua-dua negara.

"Saya maklum apa yang telah dinyatakan oleh Menteri Singapura beberapa hari lepas bahawa mereka (Singapura) ingin menyelesaikannya secara baik, jadi itu adalah langkah yang baik. Kita tidak mahu mencetuskan persaingan yang tidak perlu yang menimbulkan rasa tidak puas hati," katanya.

Muhyiddin berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai perkembangan terkini antara Singapura dan Malaysia yang timbul berikutan isu ruang udara dan sempadan perairan.

Beliau berkata kabinet telah membincangkan kedua-dua isu berkenaan secara serius baru-baru ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin yakin menteri yang berkaitan akan melakukan yang ​​​​​​​terbaik untuk menyelesaikan isu-isu tersebut, seperti yang diarahkan oleh kabinet.

"Hubungan Singapura-Malaysia selama ini baik.

"Biasalah (ada masalah), waktu saya menjadi Menteri Besar dahulu, kita ada masalah (juga) tetapi kedua-dua negara mahu bekerjasama," katanya.

Di SINGAPURA, Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Chan Chun Sing dalam komen pertamanya mengenai pertikaian itu berkata dengan kemungkinan berlakunya kemalangan, ‘peningkatan risiko tidak boleh dipandang ringan’.

“Keadaan di kawasan perairan itu adalah tegang. Kedudukan kapal rapat antara satu sama lain dan kita tahu ada kapal yang bersenjata, jadi peningkatan risiko tidak boleh dipandang remeh. Kemalangan mungkin berlaku,” menurut Channel NewsAsia memetiknya sebagai berkata.

“Kami menggesa semua pihak agar kembali ke status quo ante sebelum 25 Okt agar situasi tenang. Ada cara penyelesaian di bawah undang-undang antarabangsa tanpa prejudis kepada Malaysia,” kata Chan.

Beliau dilaporkan berkata Singapura mengalu-alukan ‘penyelesaian secara baik dan segera’ berhubung isu itu.

Menteri itu juga dipetik sebagai berkata sekiranya gagal mencapai persetujuan, Singapura terbuka untuk mencari jalan keluar melalui ‘prosedur penyelesaian pertikaian pihak ketiga antarabangsa yang sesuai.’

Menteri itu juga menggesa agar situasi di kawasan pertikaian diredakan dahulu.

Pada Jumaat, Singapura menolak cadangan Malaysia bagi kedua-dua negara menghentikan penghantaran aset ke kawasan yang dipertikaikan.

Bagaimanapun, Singapura berkata ia "bersedia untuk membincangkan isu ini dengan Malaysia secara konstruktif dalam semangat memelihara hubungan dua hala kita yang penting."

-- Bernama

Lihat Komen
ADS