Berita Malaysiakini

Salahuddin, Mujahid antara sasaran kritikan wakil siswa

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Nota editor: Versi sebelumnya secara salah memetik Penolong Setiausaha Agung 1 Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli, untuk laporan ini. Kesilapan itu tidak disengajakan dan dikesali.

Salah seorang pemimpin siswa yang diberi ruang berucap di himpunan membantah Icerd di Kuala Lumpur hari ini menjadikan beberapa menteri Pakatan Harapan sebagai sasaran kritikannya.

Antara menteri yang dikecam ialah Dr Mujahid Yusof yang didakwanya bertanggungjawab menyebabkan orang Islam di negara ini terpinga-pinga.

Menurut wakil siswa itu, menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga menyebabkan umat Islam mengalami pemikiran bercelaru.

Dia juga mendakwa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub bertanggungjawab menyebabkan kesengsaraan ke atas golongan petani dan nelayan di negara ini.

Untuk rekod kedua-dua mereka ialah bekas pemimpin kanan PAS sebelum disingkirkan perwakilan parti itu pada muktamar mereka kira-kira tiga tahun lalu.

Dia kemudian menyindir Dr Maszlee Malik yang dikatakannya menjanjikan bulan dan bintang sebelum ini.

Satu daripada 'janji' yang dituntut itu, katanya, ialah menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Kami golongan mahasiswa akan bangkit menuntut janji itu," katanya.

 

Tidak ketinggalan ialah seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri P waythamoorthy.

Senator yang dilantik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mengetuai portfolio perpaduan digelarnya sebagai menteri perpecahan.

"Setuju atau tidak jika kita tuntut Waytha ini: kamu harus berunur segera?" katanya kepada puluhan ribu orang ramai yang berkumpul di depan Jalan Raja yang terletak di antara Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka itu.

Sebelum mengakhiri ucapan wakil siswa itu mengetuai laungan untuk mendesak Waythamoorthy berundur, sebelum ia diikuti oleh orang ramai.