Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kabinet putuskan Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara -Xavier
Diterbitkan:  Dec 8, 2018 4:34 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Jemaah Menteri berpandangan status Pulau Kukup sebagai Taman Negara Johor perlu dikekalkan bagi memastikan kawasan itu kekal sebagai pulau bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia dan satu-satunya di perairan negeri Johor, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata Pulau Kukup, terletak dalam daerah Pontian, mempunyai keluasan 647 hektar dan dikelilingi 800 hektar tanah paya, mempunyai ekosistem pulau bakau yang jarang ditemui dan diancam kepupusan, merupakan khazanah biodiversiti yang tidak ternilai kepada negara dan kepada negeri Johor khususnya.

Ia telah dikenal pasti sebagai kawasan persinggahan burung migrasi, tempat pembiakan dan perlindungan hidupan liar terancam seperti Burung Botak, Bangau Cina dan Pacat Bakau serta sumber perikanan dan akuakultur negara, katanya.

“Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam berpandangan status itu perlu dikekalkan.

“Rakyat juga secara umumnya menyokong supaya status tersebut dikekalkan supaya ekosistem Pulau Kukup terus terpelihara sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa demi faedah generasi masa kini dan masa depan.

“Sebarang kegagalan dalam menguruskan kawasan ini secara berhemah boleh menyebabkan kehilangan khazanah biodiversiti yang tidak ternilai di samping menjejaskan usaha-usaha mengiktiraf Mersing sebagai Geopark Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Johor kaji semula status

Beliau berkata demikian merujuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Khamis lepas (6 Disember) yang meluluskan usul supaya Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri mengkaji semula status Taman Negara (Johor) Pulau Kukup.

Xavier berkata Pulau Kukup juga telah diisytiharkan sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa di bawah Konvensyen Ramsar.

Beliau berkata terdapat kira-kira 18 spesies bakau asli di Hutan Paya Bakau Pulau Kukup.

Jika dibandingkan dengan kawasan bakau lain di Semenanjung Malaysia, kekayaan spesies bakau asli di Pulau Kukup adalah tinggi dengan mengambil contoh Hutan Paya Laut Matang, Perak seluas 40,000 hektar tetapi hanya terdapat 21 spesies bakau asli.

“Perbandingan ini menunjukkan kepentingan nilai kepelbagaian biologi Pulau Kukup di rantau ini.

“Pertukaran status kawasan ini sudah tentu boleh memberi kesan kepada pengiktirafannya sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa yang telah diterima serta menjejaskan reputasi negara dalam memulihara biodiversiti,” katanya.

Satu salinan surat warta kerajaan negeri yang memberitahu pembatalan perizaban Taman Negara Pulau Kukup telah tular dalam media sosial.

Menurut warta bertarikh 24 September lepas itu, pembatalan keseluruhan kawasan yang diisytihar sebagai kawasan Taman Negara Pulau Kukup berdasarkan kuasa diberi mengikut Subseksyen 3(3) Enakmen Perbadanan Taman Negara (Johor) 1989.

Khamis lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar telah menyampaikan perkenan baginda agar Pulau Kukup di Pontian, kekal sebagai Taman Negara Johor.

Hasrat baginda itu dinyatakan melalui sepucuk surat kepada Pengarah Tanah dan Galian Johor bertarikh 5 Disember 2018, yang dimuat naik melalui laman rasmi Facebook dan Twitter HRH Crown Prince of Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Semalam, Menteri Besar Osman Sapian berkata kerajaan negeri akan menyatakan pendiriannya berhubung kedudukan Pulau Kukup, Pontian sebagai Taman Negara pada sesi penggulungan DUN, esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS