Berita Malaysiakini

Dr M: PKR tandingi Rantau, DAP di Cameron Highlands

Diterbitkan  | 

Pakatan Harapan (PH) bersetuju meletakkan calon daripada parti komponen yang bertanding sebelum ini bagi pilihan raya semula kerusi Parlimen Cameron Highlands, Pahang dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan.

Pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad, bagaimanapun, berkata calon yang akan bertanding itu akan ditentukan oleh kepimpinan tertinggi parti masing-masing sebelum dipertimbangkan.

“Calon yang bertanding akan menggunakan logo Pakatan (PH),” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Menara Yayasan Selangor, di Petaling Jaya, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei lalu, calon PH bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah M. Manogaran daripada DAP dan Dr S Streram daripada PKR bagi kerusi DUN Rantau.

Pada 16 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi DUN Rantau adalah terbatal dan tidak sah.

Mohamad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan kini Timbalan Presiden Umno, menang tanpa bertanding ​​​​​​​selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon 28 April lepas, kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya turut mengisytiharkan kemenangan calon BN, C Sivarraajh daripada MIC bagi kerusi parlimen Cameron Highlands adalah terbatal dan tidak sah kerana wujud amalan rasuah.

- Bernama