Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB nafi rombak exco Selangor dalam masa terdekat
Diterbitkan:  Dec 8, 2018 4:57 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hari ini menafikan akan berlaku rombakan dalam barisan anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco), dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata sebaliknya ia hanya membabitkan penambahan seorang anggota exco baharu bagi melengkapkan barisan anggota exco kerajaan negeri itu.

"Tiada rombakan tetapi hanya penambahan seorang anggota exco bagi melengkapkan kuota 10 exco dalam meningkatkan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri.

"Penambahan exco ini perlu dibuat kerana kekosongan kerusi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, susulan kematian exconya Prof Dr Shaharuddin (Badaruddin)", katanya kepada pemberita di Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor 2018, di Shah Alam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan sebuah akhbar semalam yang mendakwa berlaku rombakan dalam barisan exco Selangor dengan beberapa exco sedia ada bakal digugurkan.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata pihaknya juga masih belum memutuskan tarikh bagi mengumumkan calon yang bakal menggantikan Shaharuddin yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 2 Ogos lepas.

Pertahan kedaulatan undang-undang

"Saya sedang tunggu tarikh yang sesuai untuk umumkan perkara itu... tarikh belum ada jika sudah ada tarikh memang umum," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai perkembangan pertikaian berhubung isu perpindahan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya dekat sini, Amirudin berkata pihaknya sedang mengumpulkan beberapa pandangan daripada pihak berkaitan termasuk pihak pengurusan kuil sebelum memutuskan jalan penyelesaian.

"Apa pun jalan penyelesaiannya kita tidak akan melanggar kedaulatan undang-undang sekiranya membabitkan keputusan mahkamah...kita akan pertahankan kedaulatan undang-undang kerana ia penting pada kita, kalau tidak orang buat sesuka hati," katanya.

Baru-baru ini isu berkenaan mencetuskan rusuhan di kawasan rumah ibadat terbabit yang menyaksikan antara lain kenderaan, bangunan dirosakkan dan seorang anggota bomba cedera parah akibat diserang perusuh.

Terdahulu dalam majlis tersebut, Amirudin yang mewakili kerajaan negeri turut menyampaikan bantuan berjumlah RM20,000 kepada waris enam anggota bomba yang maut dalam operasi menyelamat seorang remaja lelaki yang lemas di Taman Putra Perdana, Puchong awal Oktober lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS