Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Fuziah sangsi alasan Lynas nak bina tapak pelupusan kekal
Diterbitkan:  Dec 8, 2018 5:12 PM
Dikemaskini: 9:12 AM

Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh sangsi dengan alasan yang diberikan oleh Lynas Corporation Ltd (Lynas) untuk membina tapak pelupusan kekal (PDF) untuk sisa Water Leached Purification Residue (WLP), kerana dikhuatiri ia hanya alasan untuk melengahkan tindakan tegas kerajaan terhadap mereka.

Menurut Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, kerajaan telah lama mengeluarkan arahan kepada Lyanas untuk berbuat demikian, namun syarikat itu sebelum ini memberikan alasan mahu melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap sisa nadir bumi yang sudah diproses.

"Laporan dikeluarkan Jawatankuasa Khas Bagi Mengkaji Operasi Lynas sudah jelas bahawa sisa nadir bumi itu tidak sesuai digunakan sebagai baja untuk industri pertanian kerana mengandungi bahan radioaktif yang sangat berisiko tinggi.

"Kenapa sekarang mereka timbulkan balik perkara ini (pembinaan tapak PDF)? Bagi saya, ini semua taktik mereka sahaja...kalau boleh nak buat PDF, saya alu-alukan, tetapi kena pastikan ia mendapat persetujuan semua penduduk dan mengadakan sesi pendengaran awam terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu di Kuantan hari ini.

'Lynas nak saman'

Hadir sama ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu Lee Chean Chung dan Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas Tan Bun Teet.

Fuziah secara sinis turut menggesa pihak Lynas meneruskan niat mereka mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan berikutan pengumuman Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin yang meminta pihak syarikat memproses nadir bumi itu mengikuti saranan dikemukakan Jawatankuasa Khas Bagi Mengkaji Operasi Lynas, termasuk menghantar semula sisa radioaktif ke Australia.

"Kalau betul Lynas nak saman kerajaan, silakan...menteri pun sudah menyatakan kesediaan untuk menghadapi saman daripada Lynas.

"Beliau juga sudah bertemu dengan Peguam Negara (Tommy Thomas) bagi membincangkan perkara ini.

"Saya rasa mereka ini sengaja hendak takut-takutkan kita...saya sendiri pun sudah beberapa kali mereka cakap nak saman, tapi sampai sekarang tidak ada...sudahlah, hentikanlah sikap nak membuli rakyat Malaysia," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS