Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kehadiran yang ramai pada perhimpunan anti ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) hari ini merupakan manifestasi kepada kebangkitan rakyat.

Presiden Umno itu turut mendakwa seramai 500,000 menghadiri perhimpunan yang diadakan berdekatan Dataran Merdeka itu.

"Ia adalah manifestasi kalau Islam diusik, kalau bangsa (Melayu) diusik, kalau hak kita diusik kita akan bangkit bersatu.

"Ini adalah simbolik kepada kerajaan yang ada sekarang ini jangan main-main dengan rakyat. Jika perasaan rakyat diusik kita akan bangkit.

"Ini adalah amaran kita bahawa (isu) Icerd, jangan main-main dengan orang Islam," katanya ketika berucap di pentas himpunan bantah Icerd petang tadi.

Meskipun Ahmad Zahid mendakwa kehadiran peserta perhimpunan mencecah 500,000, namun pihak berkuasa menganggarkan kehadiran sekitar 55,000 peserta saja.

Malaysiakini pula menganggarkan jumlah kehadiran seramai 80,000 orang.

Perhimpunan itu diadakan sebagai menyuarakan bantahan terhadap cadangan kerajaan yang berhasrat untuk meratifikasikan konvensyen itu sebelum ini.

Bagaimanapun kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 23 Nov lalu mengumumkan keputusannya untuk tidak meratifikasi Icerd.

'Sarang tebuan jangan dijolok'

Sementara itu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pula menyifatkan kontrak sosial yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan lebih sempurna berbanding Icerd.

"Islam agama persekutuan sudah beri kebebasan kepada agama lain, kontrak sosial yang ada hari ini lebih baik berbanding Icerd.

"(Mengapa) berbudaya dengan barat yang lebih menghormati hak binatang berbanding manusia, berani mereka bawa Icerd ke parlimen.

"Kami anggot Parlimen akan bersuara jika kamu berani bawa ni ke parlimen dan kami akan bawa rakyat ke jalan raya kerana jalan raya juga adalah salah satu demokrasi," kata Abdul Hadi.

Anggota Parlimen Marang itu mengakhiri ucapannya dengan menghadiah tiga rangkap pantun kepada kerajaan.

Pantun tersebut berbunyi:

Sila beli kapur barus,

Sila jemput silalah kaut,

Jangan berani melawan arus,

Kelak tenggelam di dasar laut.


Dari Pelangai pergi Merapoh,

Kerana mahu bei buahnya,

Lampu Merah Jangan dirempuh,

Kalau dirempuh bear padahnya.


Dari Serdang ke Pasir Salak,

Datang menangguk udang galahnya,

Sarang tebuan jangan dijolok,

Kalau dijolok buruk padahnya,

Lihat Komen
ADS