Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Tahniah pasukan keselamatan, agensi k'jaan
Diterbitkan:  Dec 8, 2018 9:02 PM
Dikemaskini: 1:02 PM

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada pasukan keselamatan dan agensi kerajaan yang mengawal keselamatan pada perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) di sekitar Jalan Raja di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau dalam pada itu, turut berpuas hati dengan pendekatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memudah cara perhimpunan itu mengikut peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Perhimpunan kesyukuran di atas keputusan kerajaan membatalkan ratifikasi Icerd berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

"Saya juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada PDRM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan semua agensi kerajaan yang terlibat dalam mengawal keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang perhimpunan ini berlangsung," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur dan para peserta perhimpunan kerana telah berhimpun secara aman serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang perhimpunan diadakan.

Tanda kesyukuran keputusan kerajaan

Sementara itu, Muhyiddin berkata selaras dengan semangat Malaysia baru, beliau ingin mengulangi pendirian kerajaan untuk sentiasa menghormati hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman selagi hak-hak ini diamalkan menurut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim dilaporkan berkata dianggarkan 55,000 peserta hadir dan himpunan itu berjalan lancar dan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Antara pemimpin pembangkang yang hadir ialah bekas perdana menteri Najib Razak, Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Sebelum ini, penganjur dilaporkan berkata perhimpunan itu diadakan sebagai tanda ‘kesyukuran’ di atas keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasikan konvensyen berkenaan dan seterusnya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 23 November lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi Icerd.

Kerajaan juga akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial yang dicapai sebelum merdeka dalam kalangan wakil dari Umno, MCA dan MIC melalui kemenangan perikatan pada pilihan raya umum 1955.

- Bernama

Lihat Komen
ADS