Berita Malaysiakini

Lebih 40,000 berarak sambut Krismas di Miri

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sementara ribuan berarak membantah konvensyen PBB mengenai kesetaraan kaum di ibu negara, orang ramai berkumpul merayakan kedatangan Hari Natal di Bumi Kenyalang.

Lebih 40,000 orang berarak di Miri, Sarawak hari ini bagi merayakan sambutan perayaan Krismas.

Menurut The Star, majlis pada tahun ini merupakan anjuran 15 buah gereja di Miri.

Akhbar itu memetik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Sim Kui Han berkata kehadiran ramai ini menunjukkan suasana muhibah penerimaan semua kaum dan agama di negeri itu.

"Sarawak memiliki keistimewaan yang patut kami pertahankan dengan apa cara sekali pun. 

"Semangat muhibah dan perpaduan antara semua rakyat berbilang kaum dan agama di Sarawak ini sungguh bernilai," katanya.

Salah seorang peserta sambutan berkenaan, Nancy Maria memberitahu Malaysiakini majlis berkenaan cukup menyeronokkan.

"Rasa gembira dan seronok terutamanya apabila semua gereja bersatu menjayakannya. Walaupun cuaca sekejap hujan dan sekejap ok, semua masih bersemangat.

"Paling best, apabila orang awam dari hotel-hotel, kedai-kedai dan mall keluar dan memberikan sokongan kepada kami yang sedang berarak. Tanpa mengira agama dan kaum semua sporting," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Borneo Post melaporkan majlis sambutan termasuk acara konsert, nyanyian lagu-lagu Hari Natal dan pertunjukan di jalanan.