Hak asasi manusia bukan ancaman terhadap Islam - Suhakam
Hak asasi manusia seringkali disalah anggap sebagai ancaman terhadap agama Islam dan oleh sebab itu tanggapan tersebut harus diperbetulkan, kata Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Razali Ismail.
"Islam adalah agama yang amat mementingkan tentang harga diri dan maruah, dan itulah sebenarnya yang diperjuangkan dalam hak asasi manusia.
"Walaupun ada puak-puak yang cuba mengaitkan Suhakam dan hak asasi manusia sebagai satu konsep barat yang melanggar agama, ini adalah pandangan yang cetek ataupun mungkin ada motivasi yang lain di sebalik hujah ini," katanya dalam ucapan pembukaan sempena hari hak asasi manusia yang dianjurkan di Padang Timur, Petaling Jaya hari ini.
Beliau berkata selain itu terdapat sebilangan rakyat yang bimbang kemungkinan hak-hak tertentu yang dinikmati mereka akan hilang jika prinsip hak asasi manusia dilaksanakan.
"Kita semua tak usah bimbang mengenai hak-hak yang didakwa akan dihapuskan kerana hak tersebut jelas termaktub di dalam perlembagaan persekutuan dan akan terus dipelihara," katanya tanpa menyentuh lebih lanjut.

Sedia kerjasama dengan kerajaan
Dalam ucapannya Razali berkata suruhanjaya itu komited untuk memastikan hak asasi manusia dilaksanaka berdasarkan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan.
Malah beliau berkata suruhanaya itu juga sedia bekerjasama dengan kerajaan bagi tujuan itu.
"Kami percaya terdapat banyak cara untuk melindungi negara dan saya akan menyatakan secara terbuka hari ini bahawa kita mahu menjadi rakan kongsi kerajaan dalam bergerak ke hadapan.
"Kami mahu secara berkesan memberi nasihat dan cadangan kepada kerajaan, walaupun pada masa ini kami tidak bersetuju dengan beberapa isu," katanya.
Sambutan hari hak asasi manusia oleh Suhakam asalnya dijadual semalam tetapi ditangguh kepada hari ini atas alasan keselamatan.
Ini kerana semalam berlangsungnya perhimpunan anjuran Gerakan Pembela Ummah (Ummah) bagi membantah ratifikasi Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) yang diadakan di ibu negara.
Suhakam sebelum ini aktif menggesa kerajaan meratifikasi konvesyen berkenaan yang turut diterima di kebanyakan negara termasuk negara majoriti Muslim.
Bagaimanapun parti pembangkang khususnya PAS dan Umno melihat konvensyen itu bakal menggugat hak istimewa Melayu Islam yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.
Semalam Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memaklumkan beliau tidak menyertai sambutan hak asasi manusia hari ini kerana berbeza pendirian dengan Suhakam mengenai isu Icerd.

