BERITA Malaysiakini

Raja Bahrin kata Hadi cakap lain PAS doa lain

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan rasa aneh dengan pendirian PAS apabila pemimpinnya mendoakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pendek umur semalam.

Kata Raja Bahrin Shah Raja Ahmad doa itu pula diaminkan puluhan ribu penyokong PAS termasuk presiden parti itu Abdul Hadi Awang.

Menurut Raja Bahrin sebelum ini Abdul Hadi jugalah yang meminta PH supaya memberi peluang kepada Najib Razak menyelesaikan masalah kerajaan ketika anggota parlimen Pekan itu menjadi perdana menteri.

Katanya gesaan Abdul Hadi itu dibuat ketika sebahagian pemimpin Umno mempersoalkan Najib dan beliau juga berdepan dengan pelbagai dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

"(Kalau dulu Najib) diminta supaya dibenarkan menghabiskan penggalnya, kenapa kerajaan PH yang baru beberapa bulan memerintah hendak dijatuhkan?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raja Bahrin yang juga pengerusi Biro Antarabangsa Amanah mengulas himpunan menentang Icerd di Kuala Lumpur yang dihadiri penyokong PAS, Umno dan pertubuhan bukan kerajaan berasaskan Melayu semalam.

Pada penutup himpunan berkenaan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Nik Zawawi Salleh membacakan doa memohon agar kerajaan PH dipendekkan umurnya.

Menurut Raja Bahrin himpunan semalam bukanlah majlis menyatakan kesyukuran terhadap keputusan Putrajaya enggan meratifikasi Icerd seperti didakwa PAS dan penganjurnya.

"Itu bukan perhimpunan kesyukuran seperti dinyatakan Umno dan PAS. Ia perhimpunan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia yang di pilih rakyat secara sah," katanya.


Baca Desak Najib 'berehat' bukan urusan saya, kata Hadi


Menurut senator terbabit dapat dilihat berlaku gandingan unit beberapa pihak yang berpakat mahu menentang kerajaan semasa Malaysia.

Katanya PAS dan Umno berganding bahu mengasak dari dalam, manakala Singapura - yang didakwa menjadi ejen Israel dan Yahudi di rantau ini - memberi tekanan dari luar.

"Inikah politik matang dan sejahtera PAS yang boleh berkerjasama dengan Umno selepas mereka terlibat dalam isu kafir-mengafir dulu," katanya.

Raja Bahrin juga mendakwa gesaan dibuat Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar supaya menteri kabinet bangkit menghadapi Singapura mungkin mempunyai niat tertentu.


Baca 'Ada pakatan sulit PAS - Umno dengan Singapura?'


Katanya sikap sebegitu sepatutnya ditunjukkan Khairy semasa dia menjadi menteri dalam kabinet BN dulu.

"Gesaan Khairy supaya menteri-menteri Malaysia bertelagah lagi dengan Singapura memberi gambaran jelas bahawa Umno dan PAS memainkan peranan menggugat kerajaan PH dari dalam sambil mengharapkan Singapura melengkapkan strategi dengan asakan dari luar," katanya.

Untuk rekod pada Julai 2016 Abdul Hadi pernah berkata bukan urusan PAS untuk menentukan sama ada Najib perlu berundur atau sebaliknya apabila nama pemimpin negara itu dikaitkan dengan skandal 1MDB.

"Itu bukan kerja PAS. Itu kesilapan pihak berkenaan. Desak Najib 'berehat' juga bukan urusan saya, itu urusan BN selaku kerajaan pemerintah," katanya dipetik sebagai berkata.

Pada 29 Sept lalu pula Abdul Hadi meminta Dr Mahathir Mohamad diberi peluang kekal mentadbir negara sehingga habis tempoh penggalnya selama lima tahun.

Justeru kata Abdul Hadi, langkah Anwar Ibrahim mahu mengambil alih jawatan perdana menteri secepat mungkin boleh dianggap tidak mengikut moral politik yang sepatutnya.

"Kita tidak mahu orang yang bernafsu memerintah kerana bimbang apabila jadi pemimpin mereka tidak pegang amanah yang diberikan.

"Jadi biar perdana menteri sekarang tadbir negara selagi dia mampu untuk menjalankan tugas.

"Walaupun tak sebati (sependapat), kena bagi tempoh yang cukup dan jangan berhenti (mentadbir) tengah jalan kerana Tun Mahathir banyak pengalaman dan mampu untuk laksanakan tugas," katanya.