Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan ke atas Tabung Akaun Amanah Sumbangan Kuota Bumiputera Negeri Johor.

Pengarah SPRM negeri Datuk Azmi Alias berkata siasatan awal itu dijalankan pihaknya sejurus menerima laporan yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Khairuddin A. Rahim pada 3 Disember lepas.

“Kita dah menerima laporan dan sekarang ini kita dalam tindakan awal dan buat masa ini saya belum mendapat apa-apa maklumat kerana masih terlalu awal (siasatan).

“Jadi beri kami peluang untuk membuat semakan dan siasatan terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Walkabout Perdana Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2018 peringkat negeri di Sutera Mall, di Johor Bahru, hari ini.

Khairuddin dalam laporannya meminta SPRM melakukan siasatan ke atas tabung berkenaan berhubung perbelanjaan sebuah agensi pelancongan menerusi lawatan kerja ke London yang didapati mencurigakan dan melibatkan nilai ratusan ribu ringgit.

Mengulas mengenai aduan penyelewengan rasuah yang diterima SPRM negeri pada tahun ini, Azmi berkata setakat ini pihaknya menerima kira-kira 140 aduan dan masih dalam proses untuk diambil tindakan.

Terdahulu, program Hari Anti Rasuah yang bertemakan 'Bersama Memerangi Rasuah’ itu disambut serentak seluruh negara pada hari ini.

Menurutnya, program yang mendapat kerjasama daripada Yayasan Anti Rasuah Malaysia Negeri Johor dan Majlis Belia Malaysia negeri itu turut disertai lebih 150 sukarelawan negeri ini.

Azmi berkata, SPRM negeri juga turut mensasarkan lebih 3,000 orang awam untuk didekati bagi mendapatkan aduan mengenai gejala rasuah yang berlaku di sekeliling mereka.

Sukarelawan akan turut menyampaikan info ringkas gejala rasuah selain mengedarkan borang soal selidik.

- Bernama