BERITA Malaysiakini

Kontrak sosial mesti diterangkan pada bukan Melayu - Rais

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Anggota Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) perlu konsisten dalam memperjuangkan hal berkaitan Bumiputera dan Melayu, kata Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Rais Yatim.

Kata Rais, ini termasuklah memberikan kefahaman kepada masyarakat bukan Melayu mengenai kontrak sosial yang dipersetujui sejak sebelum negara merdeka.

“Jangan segan dan malu untuk memperjuangkan hal bangsa Melayu dan bumiputera seperti berkaitan dengan kuasa politik dan ekonomi.

“Kontrak sosial sebelum merdeka mesti difahami, kena terangkan (kepada kaum lain) kenapa soal dominan siasah Melayu perlu diperjuangkan dan bukan untuk menindas kaum lain,” katanya seperti dilapor Bernama.

Kontrak sosial merujuk persetujuan yang dicapai sebelum merdeka antara pemimpin Melayu, Cina dan India menerusi parti Perikatan yang memenangi pilihan raya pada 1955.

Ia merupakan persetujuan mengenai hak keistimewaan orang Melayu seperti  termaktub dalam perlembagaan sebagai timbal balik terhadap pemberian kewarganegaraan terhadap orang bukan Melayu.

Bekas presiden Gerakan Lim King Yaik pernah mengkritik amalan itu sekitar tahun 2005 kerana menyifatkan ia sudah tidak relevan dan membuatkan kaum Cina dan India di negara ini 'berkecil hati'.

Sementara itu Rais berkata parti itu akan sentiasa memberi teguran yang sihat kepada menteri-menteri Kabinet.

Beliau berkata menteri-menteri baru perlu banyak belajar daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di samping sentiasa mendengar rintihan rakyat.

“Kalau sebahagian menteri Bersatu dipandang sebagai hilang punca dan tidak ada keutuhan dalam prestasi mereka, langkah-langkah pembetulan perlu diambil sebelum ‘cacing naik ke mata’.

“Jika dibiarkan lama-kelamaan imej buruknya akan sampai kepada presiden, timbalan presiden dan pengerusi Bersatu,” katanya kepada media selepas Konvensyen Perjuangan Bersatu Negeri Sembilan.

Bersatu N Sembilan 'corot'

Konvensyen tersebut yang dihadiri lebih 500 perwakilan, dirasmikan oleh Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dalam perkembangan lain, Rais berkata Menteri Besar Aminuddin Harun akan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Bersatu negeri untuk membincangkan kedudukan parti itu di dalam pentadbiran negeri.

“Hubungan di dalam Pakatan Harapan negeri, parti kami dicorotkan dalam kedudukan tertentu.

“Menteri besar akan bertemu dengan kami dan menilai semula peranan Bersatu di peringkat pentadbiran daerah-daerah,” katanya.