Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Pakatan Harapann (PH) berjaya meraih RM1.665 juta untuk dana gabungan itu menerusi penjualan meja bagi Majlis Makan Amal Pakatan Harapan 2018 malam ini.

Jumlah itu diumumkan Presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika menyampaikan kata-kata aluan di majlis itu yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Menurutnya, ia merupakan jumlah terkumpul hasil daripada penjualan 156 meja untuk majlis itu.

Beliau menyampaikan penghargaannya kepada mereka yang menyumbang dan berkata PH memilih untuk mengadakan acara itu kerana mahu mengakhiri budaya lama dalam pembiayaan politik.

"Kita mengadakan makan malam amal ini secara terbuka kepada awam (berbanding) amalan sebelum ini iaitu (pihak yang menyumbang dana kepada parti politik) mengharapkan balasan atau laba.

"Ia sudah sebati ibarat duri dalam daging," katanya yang juga timbalan perdana menteri.

Katanya, dana itu akan memastikan kegiatan parti komponen PH dapat berjalan dengan lancar.

"Semua maklum tujuan utama penganjuran majlis ini adalah untuk mengumpul dana secara telus dan berintegriti, terus ke akaun PH.

"Kita mahu memastikan iltizam PH untuk tidak menggunakan dana kerajaan dalam kegiatan politik kepartian dapat dilaksanakan.

Wan Azizah yang mempengerusikan jawatankuasa majlis itu sebelum ini mengumumkan PH akan menjual sejumlah 177 meja bagi meraih dana, dengan harga bermula RM2,000.

Menurutnya, 22 buah 'meja emas' dijual dengan harga RM7,000 sebuah, 52 'meja perak' berharga RM5,000 sebuah, dan 71 'meja gangsa' pula RM2,000 sebuah.

Bida gambar pemimpin PH

Selain itu, majlis itu turut menyaksikan enam gambar potret pemimpin utama PH berjaya dibida dengan jumlah yang lumayan.

Gambar pemimpin tertinggi PH ketika sidang media pertama selepas menang PRU ke-14 menjadi bidaan tertinggi dengan RM500,000.

Ia dimenangi Gan Yee Hin, pengarah eksekutif Platinum Victory Holdings Sdn Bhd.

Potret Perdana Menteri Mahathir Mohamad pula ditempat kedua dengan RM350,000 yang dibeli hartawan Stanley Thai.

Ahli perniagaan Deepak Jaikishan pula menyumbangkan RM150,000 untuk potret Wan Azizah.

Terdahulu, pusingan pertama bidaan mengutip RM110,000 untuk gambar Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin. Ia merupakan bidaan tertinggi untuk malam ini.

Gambar itu dimenangi individu bernama Alex Chen dari Kajang, Selangor.

Gambar Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bersama bapanya Lim Kit Siang dimenangi seorang warga China yang hanya dikenali sebagai 'Hwang' dengan bidaan RM100,000.

Gambar Presiden Amanah Mohamad Sabu pula milik individu bernama Salahuddin dari Pahang dengan bidaan RM10,000.

Lihat Komen
ADS