Paling Popular
Terkini

Isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor melantik peguam bela baru untuk mengendalikan dua tuduhan rasuah terhadapnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Peguam Akberdin Abdul Kadir dan Jagjit Singh mengambil alih tugas sebagai peguam Rosmah daripada peguam Geethan Ram Vincent dan K Kumaraendran.

Geethan dan Kumaraendran kekal sebagai peguam Rosmah bagi berdepan 17 lagi tuduhan pengubahan wang haram.

Berikutan itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib meminta tarikh baru untuk pengurusan kes kerana peguam bela baru memerlukan masa untuk menyemak dokumen.

Mereka juga menunggu status permohonan pihak peguam untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi, katanya.

Sehubungan itu hakim Azman Ahmad menetapkan tarikh baru bagi pengurusan kes pada 11 Jan 2019.

Pada 16 Nov lalu Rosmah menghadapi dua pertuduhan rasuah melibatkan RM187.5 juta berhubung pembekalan projek tenaga solar untuk sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau menghadapi tuduhan pertama meminta wang untuk dirinya daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin, melalui pembantu Rizal Mansor, untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua beliau didakwa menerima RM1.5 juta daripada Saidi sebagai ganjaran untuk membantu syarikatnya mendapatkan projek itu.

Rosmah mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan.

Terdahulu pada bulan Oktober, beliau juga didakwa dengan 17 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah RM7.097 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS