Malaysia takkan berhenti 'jinakkan' S'pura - Bekas diplomat
Bekas diplomat Singapura, Bilahari Kausikan menuduh Malaysia cuba 'menjinakkan' Singapura dalam usaha mengalihkan perhatian terhadap ketidakstabilan politik berasaskan kaum di negara ini.
Beliau merujuk pertikaian berhubung dakwaan pencerobohan di sempadan maritim di perairan kedua-dua negara itu.
"Sangat tipikal - apa yang mereka harapkan adalah menjinakkan kepentingan kita untuk kepentingan mereka.
"Mereka tidak pernah berputus asa, dan tidak akan, (mereka) cuba untuk menguasai atau menjinakkan (Singapura), kerana jika mereka berbuat demikian, sistem berdasarkan dominasi kaum tertentu akan ditonjolkan, terutamanya sejak kita lakukan lebih baik dengan sistem yang berbeza," katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.
Bilahari mengulas komen Ketua Biro Strategi dan Dasar Bersatu, Rais Hussin terhadap laporan media Singapura Today Online, mengenai pertikaian tersebut.
Rais menggesa kedua-dua pihak meredakan ketegangan yang semakin meningkat, kerana kedua-dua negara tidak mempunyai apa-apa keuntungan daripadanya.
"Tidak ada apa-apa yang boleh diperoleh dengan mengeluarkan ancaman untuk menghalang kapal Malaysia di perairan Malaysia atau Singapura. Apa yang mereka (Singapura) akan dapat hanyalah kesakitan teramat.
"Tetapi jika Singapura merasakan pilihan raya 2019 negara itu adalah masa sesuai untuk menunjukkan kekuatannya, mereka patut tahu semangat nasionalisme seperti itu akan menyebabkan Malaysia melakukan perkara sama,"
"Jangan meludah ke langit," kata Rais.
Dalam hantaran yang dikongsi lebih 230 kali, Bilahari berkata 'permintaan' Rais cuba merendahkan kedudukan republik itu.
Beliau berkata: "Tetapi jika kita merendahkan kedudukan kita, bolehkah kita berjaya? Inilah sebab utama mengapa negara kecil tidak boleh berkelakuan sebagai sebuah negara kecil, kerana tetangga akan buat permintaan lebih besar".
'Tenang, kawan'
Semalam, Ketua Pegawak Eksekutif (CEO) dana pelaburan kerajaan Singapura, Temasek Holdings, Ho Ching (gambar) juga menulis di Facebook bagi mengulas laporan Today Online.
Ho, yang juga isteri Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menasihatkan Rais untuk bersikap 'tenang'.
Bilahari pada Sabtu lalu juga mengkritik cadangan Wisma Putra bahawa kedua-dua negara perlu menahan diri daripada menghantar aset ke perairan yang dipertikaikan sambil menunggu perbincangan mengenai isu sempadan maritim.
Cadangan itu kemudian ditolak Singapura.
"Anda buat masalah; apabila kami bertindak balas untuk mempertahankan kepentingan kami, kamu kata penyelesaian kepada masalah yang kamu buat pada mulanya adalah untuk kami berhenti mempertahankan kepentingan kami dan menerima tanggungjawab yang sama untuk masalah itu.
"Maaf, bro. Percubaan yang baik. Kami tidak boleh,"katanya.
Dalam pertikaian yang berterusan, Singapura menuduh Malaysia menceroboh perairan wilayahnya.
Bagaimanapun, Malaysia menafikan tuduhan itu dan menegaskan aktiviti penambakan Singapura tidak bermakna sempadan wilayahnya telah diperluaskan.

