Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Taikun: Beli potret Dr M bukan sebab perniagaan

Jutawan Stanley Thai berkata beliau membeli potret perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bernilai RM350,000 melalui lelongan malam tadi kerana mahu menjadikannya sebagai 'kenang-kenangan'.

Pengasas Supermax Corporation berkata, bidaan yang dibuat semasa majlis makan malam bagi mengumpulkan dana Pakatan Harapan (PH) itu tidak ada kena mengena dengan perniagaannya.

"Sesiapa saja boleh 'main' (menyertai bidaan) hari ini. Saya fikir gambar Dr Mahathir adalah suatu kenangan-kenangan.

"Amaun itu tiada mempunyai niat ... tetapi apabila kamu membida, jika kamu mahukannya dan ada persaingan, kamu menawarkan harga yang kamu mahu bayar," kata Thai kepada Malaysiakini selepas acara itu malam tadi.

Thai, yang mengasaskan Supermax bersama isterinya, Cheryl Tan pada tahun 1987 memenangi bidaan tertinggi dalam persaingan yang agak sengit bagi mendapatkan potret berkenaan.

Dalam acara itu PH berjaya mengumpulkan dana politik sebanyak RM2.89 juta daripada jualan 156 meja makan dan lelongan enam potret yang memaparkan pemimpin PH.

 "Tidak, kami berada dalam perniagaan eksport. Kami sudah bertapak, kami mengeksport produk kami di seluruh dunia, jadi (ia) tidak ada kaitan dengan perniagaan," kata Thai ketika ditanya sama ada kemurahan hati beliau mempunyai niat perniagaan.

"Objektifnya adalah untuk menggantungkan gambar Tun Dr M di pejabat. Saya difahamkan gambar itu diambil dua hari lalu, sesuatu yang seperti itu. Jadi itulah matlamatnya," katanya.

Bagaimanapun, Thai enggan menjawab apabila diminta memberi komen mengenai permintaan maafnya kepada Pengerusi Barisan Nasional Najib Razak awal tahun ini kerana menyokong Pakatan Rakyat pada tahun 2013.

Thai adalah antara dua tokoh yang membuat kejutan malam tadi apabila menghabiskan ratusan ribu ringgit untuk membeli potret semasa lelongan diadakan.

Selain Thai ialah ahli perniagaan Deepak Jaikishan, yang merupakan bekas rakan Najib dan isterinya, Rosmah Mansor.

Sebelum pilihan raya umum ke-13 pada tahun 2013, Thai secara terbuka menyokong pembangkang iaitu Pakatan Rakyat pada masa itu.

Beliau kemudian menghadapi masalah apabila BN mengekalkan kuasa dalam pilihan raya itu.

Sebulan sebelum pilihan raya umum ke-14, Thai membuat permohonan maaf kepada Najib, mendakwa beliau "dipengaruhi" oleh pembangkang dan mengatakan sebagai ahli perniagaan, beliau tidak sepatutnya terlibat dalam politik.

Bagaimanapun, pilihan raya umum 9 Mei menyaksikan PH berjaya mengalahkan BN dan membentuk kerajaan persekutuan.

Sementara itu, Deepak membeli potret Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan harga RM150,000.

Deepak sebelum ini mengakui terlibat dalam kehilangan penyiasat persendirian, mediang S Balasubramaniam yang membuat tuduhan serius terhadap Najib mengenai pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu.

Lihat Komen
ADS