BERITA Malaysiakini

Malaysia mahu kurangkan ketegangan dengan S'pura

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kementerian Luar Malaysia berkata pihaknya tidak akan akur dengan kehendak Singapura agar membatalkan perubahan sempadan Pelabuhan johor Bahru, yang didakwa republik itu menceroboh kawasan perairannya.

Bagaimanapun kementerian itu berkata akan mengambil langkah untuk mengendurkan ketegangan dengan Singapura.

"Kementerian merujuk nota diplomatik Singapura bertarikh 8 Disember, di mana Singapura menolak cadangan Malaysia agar kedua-dua negara tidak menghantar aset ke kawasan yang menjadi pertikaian, dengan hasrat mengurangkan ketegangan, sementara mengadakan perbincangan berhubung isu sempadan maritim.

"Singapura juga menggesa Malaysia untuk kembali ke status quo sebelum 25 Oktober dengan mengeluarkan semua kapal kerajaan Malaysia di kawasan itu dengan segera.

"Walaupun kerajaan Malaysia tidak dapat bersetuju dengan permintaan balas Singapura, Malaysia akan mengambil setiap langkah untuk mengurangkan ketegangan di lapangan, menegaskan pendiriannya untuk mengendalikan keadaan ini secara aman dan tenang," kata kementerian luar dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu selepas kementerian itu memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura untuk membincangkan pertikaian maritim.

"Ketika perbincangan, kementerian mengalu-alukan penekanan berterusan Singapura berhubung kepentingan dialog, dan kesanggupannya untuk mengadakan libat urus dengan Malaysia bagi menyelesaikan perkara ini dengan baik, serta pertimbangannya terhadap cadangan Malaysia untuk perbincangan dua hala.

"Malaysia juga setuju dengan tarikh yang dicadangkan Singapura pada Januari 2019," katanya lagi.

Kementerian Luar juga menegaskan kepentingan hubungan dua hala dengan Singapura dan menyatakan harapan agar perbincangan itu akan berjalan dengan pantas.

Dalam respons segeranya, Kementerian Luar Singapura berkata pihaknya mengalu-alukan usaha Malaysia untuk mengendurkan ketegangan serta persetujuan untuk kedua-dua pihak bertemu Januari ini.

Bagaimanapun ia sekali lagi mengulang gesaan untuk kembali ke status quo sebelum 25 Oktober.

"Kerajaan Singapura mengambil maklum kenyataan kerajaan Malaysia petang ini. Malaysia mengakui candangan Singapura tiada prejudis terhadap pendirian kedua-dua pihak dalam soal sempadan maritim.

"Justeru Singapura kecewa dengan Malaysia yang tidak setuju dengan cadangan kembali ke status quo sebelum 25 Oktober...Singapura mengulang gesaan itu. Ini dapat mengelakkan salah faham dan (kemungkinan) isu di lapangan.

"Tindakan Malaysia (berkenaan kapal di kawasan itu) tidak akan menguatkan tuntutan undang-undangnya dan hanya akan meningkatkan ketegangan. Malaysia akan bertanggungjawab terhadap keadaan tidak diingini yang timbul di lapangan ekoran tindakannya terus meletakkan kapal di kawasan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Belanjawan 2020
  • Infografik
    Carta & Graf
  • Kuiz
    Apa anda dapat?
  • Undian
    Suka atau tidak?
  • Laporan langsung
    Laporan langsung kami