Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno gesa tubuh RCI siasat kewangan Tabung Haji

Umno hari ini mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi mencari kebenaran berkenaan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH).

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, laporan yang dibentangkan di Parlimen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof hari ini mengundang kerisauan yang mendalam dan perlu dipandang serius semua pihak.

“Saya yakin orang Melayu dan Islam di negara ini mendambakan kebenaran daripada pendedahan ini dan seterusnya menuntut pertanggungjawaban daripada mereka yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata satu siasatan secara mendalam, terperinci dan benar mesti dilakukan dengan segera dan tegas.

Katanya lagi, Umno serius dalam usaha memelihara kewibawaan institusi berkaitan dengan orang Melayu dan Islam.

“Sebarang usaha untuk memperkuat institusi ini dan menghapuskan ketirisan, pecah amanah serta salah tadbir urusnya mesti disokong semua pihak.

"Masyarakat awam berhak mengetahui kedudukan sebenar institusi terpenting ini dan kebenaran hanya terbit dari siasatan yang telus, tidak berpihak dan menyeluruh,” katanya.

Mujahid hari ini dilaporkan berkata TH akan diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bermula Januari tahun depan bagi menambah baik tadbir urus organisasi berkenaan.

Beliau berkata langkah berkenaan adalah sebahagian daripada pelan pemulihan menyeluruh bagi memulihkan penyata kira-kira TH yang merekodkan defisit RM4.1 bilion pada 31 Disember tahun lepas.

Sehingga 31 Disember, jumlah aset keseluruhan TH ialah sebanyak RM70.3 bilion manakala jumlah liabiliti sebanyak RM74.4 bilion.

-Bernama

Lihat Komen
ADS