Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

WAWANCARA | Hanya orang bodoh yang berusaha mengganggu gugat kerajaan Perak selepas bertungkus-lumus menjatuhkan BN pada pilihan raya umum (PRU) lalu, kata Ahmad Faizal Azumu.

Menteri Besar Perak itu berkata dalam keadaan sekarang beliau tidak berpendapat ada dalam kalangan exco negeri itu sengaja mahu menjatuhkan kerajaan sekarang.

Justeru, katanya, dakwaan yang mengaitkan ada gerakan tertentu dalam kalangan PH berpakat mahu menyingkirkannya daripada jawatan menteri besar adalah mengarut.

“Kerajaan (sudah) berjalan dengan stabil, banyak polisi dan usaha kita telah menampakkan hasil.

"Secara jujur dan ikhlas, saya tak fikir ada mana-mana pihak ingin melemahkan atau menjatuhkan kerajaan PH sekarang.

“Kalau ada, it’s very silly (ia sangat bodoh).

"Bodohlah kita, dah susah-susah tubuhkan kerajaan, sekarang nak jatuhkan kerajaan pula.

"Saya tak fikir ada wakil rakyat atau exco PH Perak yang menjadi tidak bijak untuk jatuhkan kerajaan negeri,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Malaysiakini semalam.

Pusat pun kena tempias

Pada 25 Nov lalu, Ketua Pembangkang Perak Saarani Mohamad mendakwa wujud komplot melibatkan beberapa exco Perak yang cuba mengusulkan undi tidak percaya ke atas Ahmad Faizal di dewan undangan negeri itu.

Kira-kira 10 hari kemudian Saarani memberi gambaran bahawa individu dimaksudkan itu ialah Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari.

Bagaimanapun wakil rakyat DAP bagi kawasan Tebing Tinggi itu menafikannya dalam satu sidang media.

Aziz Bari

Biarpun menegaskan dakwaan itu sebagai tidak berasas, Ahmad Faizal mengakui dakwaan itu bukanlah ringan.

Jika benar, katanya, ia tidak saja menyebabkan krisis di peringkat Perak, malah boleh mengheret kerajaan pusat, selain negeri lain yang dikuasai PH.

Ditanya sama ada beliau sudah bertemu dengan exco Perak bagi mendapatkan penjelasan, Ahmad Faizal berkata semua 10 exco negeri itu menyatakan sokongan kepadanya.

“Saya tak rasa (dakwaan itu) berlaku, tetapi jika benar, saya percaya majlis PH di peringkat pusat akan ambil tindakan.

"Ini bukan perkara main-main, ia akan memberikan kesan kepada PH peringkat pusat dan negeri-negeri yang lain,” tambahnya lagi.

Nak usik di sini sana

Sementara itu Ahmad Faizal berkata laporan dibuat kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan tersebut.

SPRM pula, katanya, sudah memanggil beberapa Adun Perak untuk disoal siasat berhubung perkara itu.

Bagi Ahmad Faizal, beliau tidak mahu terlibat dalam polemik politik sebaliknya mahu menumpukan sepenuh perhatiannya dalam melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya selaku menteri besar.

“Saya faham, mungkin kerana kedudukan kerusi yang begitu tipis, membuatkan ada pihak yang cuba-cuba hendak mengusik di sini dan sana.

"[...] Akan sampai masanya kita kembali berpolitik, apabila sudah dekat (akhir) penggal nanti, jadi pada tahun keempat itu kita mulalah balik (berpolitik)," jelasnya.

Tambah Ahmad Faizal, sekarang adalah masa untuk setiap orang sama-sama membuat kerja masing-masing dalam membina negeri, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

“Di kalangan pemimpin PH pun saya selalu nasihatkan, kita sudah berjuang sekian lama untuk tubuh kerajaan. Kini hendak uruskan kejayaan itu bukan mudah.

“Buatlah kerja dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh. Rakyat akan tahu juga (akhirnya),” katanya lagi.


Temu bual ini turut disertai Al-Abror Mohd Yusuf, Abraham Sebastian dan Norman Goh.

Lihat Komen
ADS