Kerajaan tidak akan memperkenalkan semula Seksyen 88A dalam Pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA), yang menghalang penukaran agama sepihak, kata Menteri Undang-undang Liew Vui Keong.

Liew berkata ini kerana sudah ada duluan undang-udang yang menghalang perkara itu.

Beliau merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes M Indira Gandhi, yang menetapkan penukaran agama kanak-kanak perlu mendapat keizinan kedua-dua ibu dan bapa.

"Maka pentafsiran (oleh Mahkamah Persekutuan) boleh menyelesaikan isu penukaran agama oleh ibu atau bapa yang memeluk Islam.

"Tiada lagi keperluan untuk memasukkan Seksyen 88A dalam LRA," katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Beliau menjawab soalan bekas menteri undang-undang Azalina Othman berhubung sama ada seksyen itu akan diperkenalkan semula.

Seksyen 88A pada mulanya dimasukkan dalam draf pindaan LRA pada 2016 tetapi kemudia digugurkan pada Ogos 2017.

Ia selepas kerisauan berhubung tafsiran 'ibu atau bapa' dalam Perlembagaan Persekutuan mungkin merujuk salah seorang ibu atau bapa saja, bukan kedua-duanya.

Liew berkata ada duluan kes yang menyokong tafsiran itu, seperti keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes R Subahini lawan T Saravanan pada 2008 dan kes Indira ketika di peringkat Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun dalam kes terbaru di Mahkamah persekutuan, iaitu Indira Gandhi lawan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan pihak lain, mahkamah menafsirkan 'ibu atau bapa' dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan sebagai kedua ibubapa," katanya lagi.

Perkara itu menyatakan: "Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya."