Mahkamah cadang kes Teresa saman Jamal selesai melalui mediasi
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mencadangkan supaya kes saman fitnah difailkan Menteri Industri Utama Teresa Kok terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung dakwaan penyalahgunaan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas), diselesaikan melalui proses mediasi.
Perkara itu dimaklumkan peguam K. Murali yang mewakili Kok kepada pemberita selepas pengurusan kes saman berkenaan di dalam kamar Hakim Datuk Ahmad Bache yang turut dihadiri peguam Mohamad Fauzi Abdul Samad bertindak bagi pihak Jamal.
Murali berkata mahkamah meminta supaya pihak-pihak terlibat cuba mencari penyelesaian untuk menyelesaikan kes melalui proses mediasi namun tarikh mediasi belum diketahui.
“Mahkamah juga menetapkan 10 Jan tahun depan untuk pengurusan kes bagi mengetahui perkembangan status mediasi berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Fauzi berkata sekiranya tiada sebarang penyelesaian dicapai, mahkamah menetapkan dua hari bermula 29 April tahun depan untuk perbicaraan.
Pada 6 April 2017, Kok selaku plaintif menyaman Jamal berhubung dakwaan Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas ketika mengadakan sidang media pada 8 Mac 2017.
Dalam penyataan tuntutan itu, Kok mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk di laman sosial Facebook milik Jamal.
Anggota Parlimen Seputeh itu mendakwa kenyataan fitnah tersebut antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seseorang yang tidak beretika.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injuksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan.
- Bernama

