Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Lembaga Tabung Haji (TH) berkata tiada pengeluaran wang besar-besaran dilakukan pendeposit yang panik susulan pendedahan masalah kewangan badan pengurusan ibadah haji itu semalam.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai eksekutif Tabung Haji Zukri Samat berkata pendeposit setakat ini masih yakin dan memberi sokongan penuh kepada Tabung Haji.

"Tidak berlaku pengeluaran secara besar-besaran (oleh pendeposit), orang ramai masih menyokong kita.

"Malah hari ini kita menerima 170 pembukaan akaun baru," katanya dalam sidang media di Menara Tabung Haji di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita susulan pendedahan keadaan kewangan Tabung Haji yang mengalami defisit sebanyak RM4.1 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof semalam juga berkata hibah (dividen) Tabung Haji menggunakan wang pendeposit sendiri, dan bukannya daripada keuntungan, sejak 2014.


Baca: TH: Mujahid kata defisit, Azeez kata lebihan? Ini sebabnya


Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan bekas Pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim yang berkata audit oleh Ernst&Young yang dilantik ketika pentadbiran BN menunjukkan lembaga itu mempunyai lebihan aset sejak 2015 hingga 2017.

Berhubung dua laporan polis Tabung Haji terhadap Abdul Azeez dan beberapa bekas pegawai tinggi lembaga itu, Zukri enggan mengulas lanjut dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

"Saya bukan orang sesuai untuk memberi komen mengenainya, sebaliknya kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan dan memutuskannya," katanya lagi.'

Laporan pertama berhubung Program Yayasan Tabung Haji 2017 melibatkan dana lebih RM22 juta manakala laporan kedua berhubung tindakan menyembunyikan maklumat penting melibatkan penjualan saham Tabung Haji pada 95 peratus.

Abdul Azeez bagaimanapun menafikan dakwaan wang RM33 juta itu diselewengkan untuk tujuan politik tetapi digunakan dalam program kebajikan.

Lihat Komen
ADS