Paling Popular
Terkini

KATA MP | Kerajaan Pakatan Harapan (PH) cuba menipu dan mengelirukan rakyat.

Inilah rumusan daripada kenyataan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy apabila beliau mengesahkan semalam akan komitmen Malaysia untuk tanda tangan enam triti hak asasi manusia termasuk Icerd.

Ini bermakna Icerd akan diratifikasikan lambat laun, satu hakikat yang perlu disedari oleh orang Melayu dan penduduk beragama Islam di negara ini.

Waythamoorthy menegaskan bahawa meratifikasikan Icerd tetap menjadi janji manifesto Pakatan Harapan yang akan ditunaikan juga.

Ini selaras dengan janji Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu baru-baru ini.

Umno bersama-sama Pas dan lebih 500,000 rakyat Malaysia dari seluruh negara yang mengadakan himpunan menolak Icerd kerana ia jelas menjejaskan kepentingan Islam, Melayu, bumiputera dan anak negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.

Parti Hindraf yang memulakan gerakan pengiktirafan Icerd nampaknya tidak belajar apa-apa daripada himpunan pada 8 Dis lalu dengan provokasinya yang berterusan.

Alasan tak boleh terima

Janji kerajaan untuk tidak meratifikasi Icerd kini sah sebagai satu helah untuk memikat hati rakyat, khasnya orang Melayu. Ia cukup menghampakan!

Waythamoorthy sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perpaduan harus sedar bahawa Malaysia sudah aman dan hak semua kaum diiktiraf di bawah pemerintahan BN. Icerd tidak diperlukan di negara ini.

Beliau seolah-olah cuba mempertahankan videonya yang diambil beberapa tahun lalu dengan pembohongannya mengenai orang Hindu dianaktirikan dan dipaksa memeluk Islam di negara ini.

Alasannya bahawa kerajaan pernah meratifikasi konvensyen dunia yang lain tidak langsung dapat diterima kerana ia tidak membabitkan kaum dan agama.

Konvensyen itu adalah bagi mengiktiraf hak orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak dan wanita. Icerd pula akan menjejaskan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Umno tidak bersikap biadab dan rasis tetapi Waythamoorthy sendiri yang memulakannya. Dengan itu orang Melayu, bumiputra dan Islam akan terus menentang Icerd dalam keadaan apa pun.

Jika beliau menghormati prinsip Perlembagaan Persekutuan yang ada dan tidak mahu negara terjerumus ke kancah perkauman dan keagamaan, berhentilah daripada membuat kenyataan rasisnya itu.

Dengan itu, kami ingin mendesak kerajaan agar membuat pendirian tegas di dalam perkara ini. Selagi ia tidak dimasukkan ke hansard parlimen secara rasmi, selagi itulah manusia sejenis dengan Waythamoorthy akan menggunakannya untuk kepentingan politik perkaumannya.

Tak harus wujud

Harus diingat, Umno bukan sahaja menentang Icerd untuk kepentingan Melayu dan Islam, malah meliputi pribumi Sabah dan Sarawak.

Ini sudah diperjelaskan berulang kali tetapi Waythamoorthy sengaja tidak mahu memahaminya.

Satu perkara lagi yang ingin diperjelaskan ialah, penolakan Icerd ialah kunci kepada perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia.

Dengan mengiktiraf hak semua bangsa dan agama, seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan, Icerd tidak diperlukan langsung.

Ini bukannya zaman apartheid Afrika Selatan. Ini adalah negara kita. Kontrak sosial jelas memelihara kepentingan serta hak semua kaum dan agama, dan ini tidak perlu dipertikaikan.

Jika Mahathir masih dengan pendiriannya untuk tidak meratifikasikan Icerd, fikirkanlah semula kedudukan Waythamoorthy sebagai menteri perpaduan, atau rakyat yang akan menjadi hakimnya.

Anasir seperti ini tidak harus wujud di dalam pentadbiran, malah di dalam negara berdaulat ini. Hentikanlah perbuatan provokasi perkauman ini daripada menjadi satu bom jangka yang sukar dibendung jika meledak.


Shamsul Anuar Nasarah ialah anggota parlimen Lenggong merangkap ketua penerangan Umno.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS