Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PM tak dapat maklumat tepat pilihan raya kerajaan tempatan'

Seorang anggota veteran DAP menyifatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak mendapat maklumat yang tepat apabila mendakwa pilihan raya kerajaan tempatan boleh mengundang masalah antara kaum jika dilaksanakan di negara ini.

Kata Lim Kit Siang polarisasi kaum di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini telah "diperbetulkan" pada 2010 dan ia dikuasai oleh majoriti orang Melayu.

Oleh itu katanya, agak mustahil untuk pilihan raya seumpama itu boleh menimbulkan masalah kaum seperti yang dibimbangi oleh kerajaan.

"Saya rasa mungkin (Mahathir) tidak mendapat maklumat terkini. (Berdasarkan statistik) pada 2010 menunjukkan masalah polarisasi kaum dalam kerajaan tempatan telah dibetulkan.

"Hanya tiga kawasan yang majoriti Cina iaitu di Sibu, Kuching, Pulau Pinang.

"Daripada 148 kawasan PBT, 132 adalah majoriti Melayu, manakala 13 lagi kawasan tidak dikuasai oleh satu kaum," katanya selepas program Kelas Malam, Mahu Ke Mana Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, malam ini.

Mahathir pada 10 Dis lalu menegaskan pilihan raya kerajaan tempatan tidak akan diadakan kerana ia boleh mengundang konflik antara kaum dan melebarkan jurang di antara bandar dan luar bandar.

Jelas Mahathir lagi pilihan raya kerajaan tempatan juga boleh menyebabkan hasil yang salah antara kawasan bandar dan luar bandar.

"Akan terdapat konflik, yang mungkin menyebabkan perbezaan kaum dan sebagainya. Kami tidak mahu perkara itu berlaku," kata Mahathir.

Sementara itu Lim berkata, DAP tidak akan berputus asa dan akan terus meyakinkan kerajaan serta parti komponen Pakatan Harapan (PH) supaya menerima cadangan mengadakan pilihan raya itu.

Bagaimana pun beliau mengakui bahawa perkara itu tidak termasuk dalam manifesto PH, tetapi ia diperjuangkan DAP sejak 50 tahun lalu.

Lihat Komen
ADS