Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Redzuan tak kecil hati wajah 'hilang' dari gambar
Diterbitkan:  Dec 11, 2018 11:56 PM
Dikemaskini: 3:56 PM

Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof berkata beliau tidak berkecil hati wajahnya pada gambar pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dilelong dengan harga RM500,000 pada Majlis Makan Malam Amal PH Ahad lepas, telah disunting.

Mengakui agak terkejut wajahnya pada gambar tersebut "hilang", anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkata mungkin berlaku kesilapan yang tidak disengajakan ketika gambar itu dicetak atau ia diubah suai supaya kelihatan lebih jelas.

"Kita bersangka baik. Saya tidak fikir ada motif tertentu di sebaliknya.

"Mungkin (gambar disunting) supaya tangan Dr Mahathir Mohamad (pada gambar tersebut) kelihatan lebih terang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Redzuan perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana imej itu adalah detik bersejarah yang dirakam selepas Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh, selain ia tidak adil kepada pihak pembeli yang sepatutnya mendapat gambar asli.

"Untuk gambar bersejarah yang dilelong pada harga RM500,000 ia perlulah asli. Jika anda menjual sesuatu yang bersejarah, maka ia perlu bersejarah, jangan ubah sejarah," katanya.

Mengakui tidak mengetahui pihak yang menyunting gambar tersebut, Mohd Redzuan berkata beliau hanya menyedari isu itu apabila menerima banyak pertanyaan daripada pelbagai pihak setelah ia dibangkitkan menerusi media sosial dan blog.

"Saya mendapat beratus-ratus mesej semalam (mengenai isu itu). Reaksi saya, tak ada (wajahnya) tak apalah," katanya sambil menambah perkara itu tidak perlu diperbesar jika pemenang bida gambar tersebut tidak mempersoalkan keaslian gambar berkenaan.

Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis mengenai isu itu, katanya: "Kenapa saya harus berbuat demikian? Saya rasa ia satu kesilapan yang tidak disengajakan, tanpa sebarang niat tersembunyi."

Gambar bersejarah sebelum sidang media pertama pemimpin PH selepas Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 10 Mei lepas, menjadi milik Pengarah Urusan Platinum Victory Sdn Bhd Gan Yu Chai pada harga RM500,000 selepas bidaan dibuka pada harga RM100,000.

Bagaimanapun wajah Mohd Redzuan yang sepatutnya turut kelihatan dalam gambar tersebut "hilang", sehingga dipersoalkan oleh beberapa pemblog dan netizen media sosial.

- Bernama

Lihat Komen
ADS