Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit Siang: Pua gagal di S'gor sebab hilang sentuhan akar umbi

Kegagalan Tony Pua menempatkan diri dalam Jawatankuasa DAP Selangor pada pemilihan parti itu baru-baru ini berpunca daripada kegagalannya menjaga "sentuhan dengan akar umbi", kata Lim Kit Siang.

Penasihat DAP itu berkata, sebelum pemilihan itu Pua lebih banyak memberi fokus kepada isu nasional dan polisi negara berbanding menguatkan hubungannya dengan anggota parti di Selangor.

Meskipun tewas, Lim tidak menafikan yang anggota parlimen Damansara itu banyak memberi sumbangan kepada parti.

“Tidak dinafikan beliau banyak memberikan sumbangan kepada parti dan negara tapi cabaran ahli politik juga harus terus berhubung dengan akar umbi.

"Salah satu punca (kekalahan) beliau fokus isu nasional dan negara sehingga hilang sentuhan dengan akar umbi," katanya pada Majlis Sekolah Malam: Mahu ke Mana Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kekalahan Pua dalam pemilihan Jawatankuasa DAP Selangor pada 9 Dis lalu.

Pua pada Ahad lalu meluahkan kekecewaannya ekoran tersingkir dalam pemilihan DAP Selangor hari ini.

Sebelum pemilihan Pua ialah pengerusi DAP Selangor. Selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan pusat, dia dilantik menjadi setiausaha politik kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Pua menyatakan hasrat untuk tidak lagi memegang jawatan itu dan menawarkan diri bertanding dalam pemilihan jawatankuasa DAP negeri.

Namun beliau gagal mendapat tempat 15 tertinggi dalam pemilihan terbabit.

Lihat Komen
ADS