Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Arul Kanda didakwa bersubahat bersama Najib
Diterbitkan:  Dec 12, 2018 10:08 AM
Dikemaskini: 3:30 AM

Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan bersubahat dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Bagaimanapun, Arul Kanda, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Arul Kanda didakwa bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Najib, 65, yang menggunakan jawatannya sebagai pegawai awam iaitu Perdana Menteri Malaysia untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Najib dituduh menggunakan jawatannya dengan cara mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan mengenainya dan kesalahan itu dilakukan hasil persubahatan tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 Feb dan 26 Feb 2016.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 23(1) dan Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mengetuai pendakwaan manakala Arul Kanda diwakili peguam N Sivananthan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS