Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Permohonan pindah kes Rizal Mansor disebut semula 10 Jan
Diterbitkan:  Dec 12, 2018 11:16 AM
Dikemaskini: 5:43 AM

Permohonan untuk memindahkan kes bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri, Rizal Mansor akan disebut semua pada 10 Januari depan.

Perkara itu dimaklumkan Hakim Rozina Ayob kepada peguam dalam sesi hari ini.

Dalam sebutan hari ini, peguam bela Rizal, Ridha Abdah Subri memaklumkan bahawa permohonan untuk memindahkan kes tersebut telah dibuat pada 5 Disember.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengesahkan pihaknya tiada bantahan berhubung permohonan tersebut.

Pada 15 November, Rizal menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.​​​​​​​

Jaminan Rizal dilanjutkan sehingga sebutan semula.

Sementara itu, Bernama melaporkan peguam Ridha Abdah Subri yang bertindak bagi pihak Rizal memaklumkan kepada hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob bahawa pihak pembelaan telah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi pada 5 Dis lepas.

Ridha Abdah juga memaklumkan bahawa pihak pembelaan telah memfailkan afidavit sokongan berkenaan permohonan tersebut.

"Hari ini juga telah ditetapkan untuk pengurusan kes berkenaan di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan tarikh sebutan di Mahkamah Tinggi," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib, berkata pihaknya tidak akan memfailkan afidavit balasan dan tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan tersebut.

Mahkamah menetapkan 10 Jan 2019, untuk sebutan semula kes berkenaan.

Pada 15 Nov lepas, Rizal, 44, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Datin Seri Rosmah Mansor berjumlah RM5.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, Rizal didakwa telah secara rasuah meminta bagi pihak Rosmah suatu suapan iaitu wang berjumlah RM187,500,000 yang merupakan 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Saidi Abang Samsudin yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd.

Ia sebagai dorongan untuk Rosmah melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bagi pertuduhan kedua, Rizal didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan iaitu wang berjumlah RM25,000,000 daripada individu sama iaitu Saidi sebagai dorongan untuk tertuduh melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe', G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit, dekat Kuala Lumpur antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan ketiga, Rizal didakwa telah secara rasuah menerima bagi pihak Rosmah suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM5,000,000 daripada Saidi sebagai upah bagi Rosmah kerana telah membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek sama di Lobi Pavilion REIT Management Sdn Bhd, 168, Pavilion, Jalan Bukit Bintang dekat sini pada 20 Dis 2016.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa telah secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM500,000 daripada individu sama sebagai upah bagi diri tertuduh kerana telah memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek serupa di No. 1, Laman Damai Sari, Jalan 1/61, Bukit Segambut, dekat Kuala Lumpur pada 23 Dis 2016.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Lihat Komen
ADS