Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kiandee mesti letak jawatan pengerusi PAC'
Diterbitkan:  Dec 12, 2018 4:28 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Peguam aktivis Syahredzan Johan menggesa Anggota Parlimen Beluran, Ronald Kiandee meletakkan jawatan sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selepas bertindak keluar daripada Umno.

Syahredzan, yang juga setiausaha politik kepada anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata Kiandee tidak lagi sesuai memegang jawatan itu terutama selepas beliau menyatakan sokongan padu kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Sekarang Ronald Kiandee telah keluar dari Umno dan menjadi bebas yang menyokong PH/Dr M', dia mesti meletakkan jawatan sebagai pengerusi PAC.

"Dia bukan lagi anggota pembangkang, tidak boleh dipertahankan untuk menjadi ketua," tulis Syahredzan hari ini di Twitter.

Beliau berkata demikian selepas sekumpulan anggota parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno di Sabah  hari ini mengumumkan keluar parti dan memberi sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Selain Kiandee, anggota parlimen lain yang mengambil tindakan yang sama ialah Abdul Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort) dan Zakaria Mohd Edris (Libaran).

Ini menyebabkan Umno kini memiliki 44 kerusi parlimen dan hanya memiliki satu kerusi DUN di Sabah berbanding 17 kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Kerusi berkenaan ialah kerusi DUN Sungai Sibuga yang disandang oleh bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman.

Anggota Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa yang juga anak lelaki Musa, juga dikatakan keluar daripada parti itu tetapi tidak hadir pada sidang akhbar untuk mengumumkan perkara itu di Kota Kinabalu awal hari ini.

Bagaimanapun Yamani masih belum mengangkat sebagai anggota Parlimen. 

Beliau diberi amaran terakhir oleh Dewan Rakyat pada awal bulan ini untuk mengangkat sumpah pada pertengahan bulan Januari tahun depan atau berisiko tidak diitiraf sebagai anggota parlimen.

Bagaimanapun, keberadaan Yamani masih tidak diketahui.

 

Lihat Komen
ADS