Puteri Umno Sabah mengambil ketetapan untuk tempoh masa bertenang susulan ramai pemimpin negeri yang keluar parti hari ini.

Ketua Puteri Umno Sabah Fadilah Sarbi berkata pergerakan itu akan membuat keputusan setelah selesai berbincang dan mendapatkan maklum balas bahagian dan juga ahli-ahli Puteri, lapor Umno Online.

“Sementara itu, terpulang kepada ketua-ketua Puteri Umno Sabah bertindak untuk menentukan hala tuju dan pendirian masing-masing.

“Apa juga pendirian ketua Puteri bahagian, jawatankuasa puteri bahagian dan ahli-ahli, saya hormati dan diucapkan selamat maju jaya,” beliau dilaporkan berkata.

Umno Sabah hari ini lumpuh selepas hampir semua anggota jawatankuasa badan perhubungan negeri itu termasuk pengerusinya Hajiji Mohd Noor mengumumkan keluar parti.

Dalam sidang media di Kota Kinabalu pengerusi Umno Selangor Hajiji Mohd Noor mengumumkan langkah itu.

Hajiji yang juga Adun Sulaman, berkata semua ketua bahagian kecuali Tenom, Kalabakan, Sepanggar dan Kinabatangan turut mengumumkan keluar parti.

Bekas menteri komunikasi dan multimedia Salleh Said Keruak dan bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia turut berbuat demikian.