Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Ada permintaan Bersatu masuk Sabah
Diterbitkan:  Dec 12, 2018 5:43 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengesahkan ada permintaan untuk parti itu melebarkan sayap ke Sabah susulan tindakan 14 wakil rakyat dan pemimpin kanan Umno negeri itu bertindak keluar parti.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata keputusan untuk Bersatu ke Sabah bergantung kepada beberapa perkara dan memerlukan pertimbangan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan komponen Pakatan Harapan (PH) di negeri bawah bayu itu.

"Yang penting kita tidak mahu timbul pertembungan kepentingan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin Yassin Kuala Lumpur (TSMCG) kepada 10 badan amal, di Kuala Lumpur hari ini.

Umno Sabah dilaporkan lumpuh apabila pengerusinya Hajiji Mohd Noor bersama sekumpulan wakil rakyat dan ketua bahagian meninggalkan parti itu untuk menjadi anggota politik bebas.

Hajiji yang juga ketua Umno Tuaran berkata tindakan keluar parti berkuat kuasa hari ini melibatkan lima anggota parlimen, sembilan Adun dan dua senator.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menyifatkan perkembangan itu sesuatu yang baik untuk PH, khususnya apabila kesemua yang keluar parti itu menyatakan sokongan kepada parti yang menjadi kerajaan pusat.

Terdahulu, Muhyiddin menyerahkan replika cek sumbangan daripada TSMTG berjumlah RM100,000 kepada wakil 10 badan amal.

Antaranya Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia, Pusat Jagaan Titian OKU Normah Adlan, Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas dan Pusat Kebajikan Singh Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS