Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedudukan Ronald Kiandee akan disemak semula - Speaker

Kedudukan Dr Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan disemak semula selepas beliau membuat keputusan keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas menyokong kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, berkata mengikut peraturan jawatan itu seharusnya disandang oleh anggota parlimen pembangkang.

"Kita ikut peraturanlah, apa yang ada (mengikut) peraturan seharusnya dipegang oleh pembangkang.

"Kita tengoklah macam mana keadaannya nanti yang boleh menjadi lebih jelas (mengenai kedudukan Ronald)," katanya ketika ditemui di Parlimen, petang tadi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Siri Syarahan Umum Yang Dipertua Dewan Rakyat (Speaker's Lecture Series) yang bertajuk 'Parlimen dan Masyarakat Awam : Suara Rakyat?

Kedudukan Ronald mencetuskan pertikaian apabila beliau menyertai segerombolan wakil rakyat dan pemimpin Umno Sabah bertindak keluar parti dan menjadi pemimpin politik bebas yang menyokong Mahathir.

Ronald dipilih BN bagi memegang jawatan Pengerusi PAC selaras dengan kehendak manifesto Pakatan Harapan (PH) bahawa jawatan itu seharusnya disandang pembangkang.

Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN pada sidang media petang tadi memberitahu parti itu akan mengemukakan nama anggota Parlimen pembangkang yang lain bagi menggantikan Ronald.

Kata Ahmad Zahid, nama itu akan dikemukakan dalam tempoh terdekat.

Lihat Komen
ADS