Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hisham nafi jadi dalang bawa MP Umno Sabah keluar parti
Diterbitkan:  Dec 12, 2018 8:46 PM
Dikemaskini: 12:46 PM

Hishammuddin Hussein hari ini tampil menafikan beliau bertanggungjawab membawa pemimpin tertentu di Sabah meninggalkan Umno.

Kata bekas naib presiden Umno terbabit, sejak enam bulan lalu pelbagai dakwaan dikaitkan dengannya.

Namun kata Hishammuddin ia kemudian terbukti tidak benar.

"Berkenaan perkembangan baru di Sabah, sekali lagi terpaksa saya nyatakan bahawa saya tidak berperanan apa-apa untuk membawa mereka meninggalkan parti," katanya dalam satu hantaran pendek di Facebook.

Petang tadi Malaysiakkini melaporkan ada beberapa sumber dalaman Umno mendakwa Hishammuddin menjadi dalang di sebalik tindakan beberapa wakil rakyat parti di Sabah berpaling tadah.

Sumber berkenaan memberitahu selepas diminta menerangkan kenyataan bekas Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Twitter ketika mengulas tindakan puluhan pemimpin dan wakil rakyat Sabah meninggalkan parti itu.

Khairy sebelum itu ditanya oleh seorang pengguna Twitter mengapa beliau tidak berusaha menghalang tindakan mereka keluar parti.

"Dah cuba tapi ada puak 'bangsawan' yang mendorong kepada tindakan keluar beramai-ramai," ciap Khairy di laman sosial itu.

Bagaimanapun satu sumber lain menegaskan Hishammuddin sebenarnya berusaha supaya wakil rakyat terbabit terus kekal bersama Umno.

Hishammuddin - anak perdana menteri ketiga Malaysia dan sepupu Najib Razak - ialah salah seorang pemimpin kanan Umno yang berprofil tinggi dalam kerajaan BN dan parti sehinggalah parti itu tidak diberi mandat untuk terus menjadi kerajaan pada 9 Mei lalu.

Sejak Umno kalah, Hishammuddin jarang muncul seperti selalu, malah beliau tidak mempertahankan jawatannya semasa pemilihan parti berlangsung pada 1 Jul lalu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS